
SHAH ALAM, 13 NOV: Kemahiran individu yang menggalas tanggungjawab menjaga golongan memerlukan diberi perhatian menerusi peruntukan RM500,000 bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Kompetensi Penjaga Tidak Formal Negeri Selangor tahun depan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu bertujuan melengkapkan penjaga dengan pengetahuan dan kemahiran bersesuaian bagi memastikan golongan di bawah jagaan mereka menerima penjagaan berkualiti.
Katanya, peranan penjaga tidak formal merupakan antara komponen penting dalam ekosistem ekonomi penjagaan yang bukan sahaja memerlukan kemudahan dan peralatan mencukupi, malah keupayaan individu yang mengendalikan tugas berkenaan.
"Penjaga merupakan antara komponen terpenting dalam ekosistem ekonomi penjagaan.
"Kualiti penjagaan seseorang individu tidak hanya bergantung pada kemudahan dan peralatan yang disediakan, malah turut dipengaruhi oleh tahap pengetahuan, kemahiran dan keupayaan individu yang melaksanakan tanggungjawab penjagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut Amirudin, program itu mula diperkenalkan tahun ini dengan memberi tumpuan kepada latihan dan peningkatan kemahiran penjaga.
Inisiatif berkenaan turut dilaksanakan dengan kerjasama institusi pengajian dan penyedia latihan menerusi penyediaan kursus berkaitan penjagaan serta bantuan yuran kepada peserta yang bersesuaian.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan 'Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni' memperuntukkan RM3.3 bilion bagi tahun depan.





