Selangor Rekod Kes Jenayah Tertinggi Libat Pelarian Rohingya

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 1:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Selangor Rekod Kes Jenayah Tertinggi Libat Pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR - Selangor merekodkan jumlah kes jenayah tertinggi membabitkan pelarian Rohingya di Malaysia dengan 58 daripada keseluruhan 199 kes yang dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kedah mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 26 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 22 kes.

Beliau berkata, polis merekodkan 52 kes pada 2022, diikuti 43 kes pada 2023, 37 kes pada 2024 dan 29 kes pada 2025.

Sebanyak 38 kes pula direkodkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai statistik jenayah membabitkan pelarian Rohingya mengikut negeri serta langkah memperkukuh kawalan, pendaftaran dan pemantauan bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

Menurut Saifuddin, Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 menyediakan kerangka pengurusan semua pelarian dan pencari suaka di Malaysia, dan bukannya tertumpu kepada komuniti Rohingya sahaja.

Katanya, kerajaan turut memperkukuh pemantauan menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memusatkan data pelarian dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada rekod yang diselenggara oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Migran yang statusnya telah disahkan akan diberikan kad DPP, yang diiktiraf kerajaan sebagai dokumen pengenalan diri rasmi bagi membolehkan mereka tinggal sementara di Semenanjung Malaysia sementara menunggu keputusan muktamad mengenai kes masing-masing.

Dalam jawapan bertulis berasingan, Saifuddin berkata Jabatan Imigresen menahan 159,232 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi 53,318 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dari 2025 hingga Ogos 2026.

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 659,191 individu.

Dalam tempoh sama, tindakan turut diambil terhadap 6,099 majikan yang menggaji atau melindungi PATI tanpa kebenaran sah.

Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen imigresen yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan melanggar syarat permit.

Saifuddin turut memaklumkan polis merekodkan satu kes penggunaan kad UNHCR palsu di Kuala Lumpur membabitkan enam warga Myanmar.

Kesemua mereka telah didakwa di mahkamah. - Getaran, 16 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved