KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor bersedia mendedahkan data pelepasan dan operasi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) kepada orang ramai sebagai langkah memastikan ketelusan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap teknologi berkenaan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk berkongsi maklumat berkaitan prestasi loji itu termasuk aspek pematuhan terhadap piawaian alam sekitar yang ditetapkan.
Menurutnya, pada masa ini, misalnya operasi WTE1 di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) Jeram sentiasa dipantau mengikut garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pelepasan yang dihasilkan berada pada tahap selamat.
"Kita sangat telus dan akan cuba memenuhi semua kriteria yang ditetapkan dengan sebaik mungkin.
"Setakat bulan pertama operasi, pengeluaran tenaga mencapai hampir 100 peratus kapasiti, manakala kawalan terhadap alam sekitar juga memenuhi tahap yang ditetapkan dalam keperluan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan operasi WTE1 di ISWMC Jeram di sini pada Jumaat.
Projek itu dibangunkan oleh Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kemudahan itu mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada 13 Mei lalu dan berupaya memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga elektrik.
Tenaga yang dihasilkan mampu membekalkan keperluan elektrik kepada sekurang-kurangnya 26,000 isi rumah bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.
WTE1 merupakan loji pertama beroperasi di bawah Kemudahan Sisa ke Tenaga Jeram, manakala pembinaan WTE2 sedang dilaksanakan dan apabila siap sepenuhnya kelak, kemudahan berkenaan dijangka menjadi kompleks sisa ke tenaga terbesar di negara ini.
Amirudin memberitahu, data operasi dan pelepasan loji itu turut dipantau secara langsung oleh JAS menerusi sistem pemantauan yang disambungkan terus ke agensi berkenaan.
Katanya, pemantauan berterusan itu membolehkan pihak berkuasa menilai tahap pematuhan loji terhadap syarat alam sekitar termasuk kawalan pelepasan debu dan dioksin.
"Maklumat yang dipaparkan di pusat kawalan turut dihantar secara langsung kepada JAS dan mereka sentiasa memantau tahap kecekapan kawalan alam sekitar yang dilaksanakan.
"Semua keperluan yang ditetapkan JAS dipatuhi dan setakat ini bacaan yang direkodkan menunjukkan keadaan baik,” jelas beliau.
Beliau berkata, perkembangan teknologi semasa membolehkan sistem WTE menjadi antara penyelesaian mampan dalam pengurusan sisa pepejal tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan awam.
"Keselamatan operasi serta pematuhan kepada piawaian alam sekitar akan terus menjadi keutamaan bagi memastikan kemudahan itu dapat beroperasi secara cekap dan selamat untuk jangka panjang," tambah beliau.
Sinar Harian pada 14 November tahun lalu melaporkan, lebih 12,000 borang bantahan telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menolak cadangan projek WTE Batu Arang, namun sehingga kini rakyat masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa.
Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) bersama Hand-in-Hand Batu Arang menegaskan, projek itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan alam sekitar dan masa depan penduduk setempat.






