Selangor teliti rayuan kes saman banjir Taman Sri Muda

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 3:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selangor teliti rayuan kes saman banjir Taman Sri Muda

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman 50 penduduk Taman Sri Muda berhubung tragedi banjir pada 2021.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) Selangor terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, kerajaan negeri perlu mendapatkan pandangan pegawai undang-undang berhubung ruang untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

“Kita akan dapatkan makluman daripada pihak PUU bagi melihat proses-proses seterusnya sama ada rayuan harus dilakukan atau tidak.

“Ini kerana ia baru keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi. Masih ada ruang untuk rayuan dilakukan dan dibuat bagi memberikan justifikasi-justifikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2026-2035 (Jalur Selangor) di sini, hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan saman difailkan 50 penduduk Taman Sri Muda terhadap pihak berkuasa selepas mendapati wujud unsur kegagalan dalam pengurusan bencana banjir pada 2021.

Tuntutan saman itu dibuat kepada tujuh defendan melibatkan Kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Alam Sekitar dan Air, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pesuruhjaya Kehakiman, Shoba Rajah dalam penghakimannya memaklumkan kesemua plaintif berjaya membuktikan kewujudan tanggungjawab tanggungjawab kesemua defendan selain menolak hujan luar biasa lebat yang berlaku merupakan ‘Act of God’ (kejadian di luar kawalan manusia) dan banjir yang berlaku tidak dapat dicegah secara munasabah.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kerja-kerja mendalamkan Sungai Klang termasuk di kawasan Taman Sri Muda kini giat dijalankan bagi mengurangkan risiko banjir.

“Kita sudah melakukan kerja-kerja pendalaman dengan pantas di sana dan tumpuan memang diberikan di kawasan tersebut. Kita melihat ada peningkatan 20 peratus di Sungai Klang.

“(Projek tebatan banjir) berjalan dengan baik sebab dalam tempoh lima tahun selepas (banjir) 2021, Taman Sri Muda mengalami insiden yang sangat minimum dan sebahagiannya mungkin dalam kadar yang agak rendah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Selangor teliti rayuan kes saman banjir Taman Sri Muda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved