Selangor teliti sistem imbasan wajah, kawalan di pintu masuk sekolah - Amirudin

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 1:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selangor teliti sistem imbasan wajah, kawalan di pintu masuk sekolah - Amirudin
Amirudin semasa menjawab soalan tambahan semasa Sidang DUN Selangor pada Isnin.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti pelaksanaan sistem pengesanan kehadiran menggunakan imbasan wajah serta kawalan keselamatan di pintu masuk sekolah bagi mengelakkan kejadian jenayah dan pencerobohan pihak luar.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu antara intervensi yang sedang dipertimbangkan susulan beberapa insiden jenayah di sekolah sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri sebelum ini melaksanakan intervensi keselamatan di sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) di negeri ini dengan memperkenalkan sistem pengesanan kehadiran automatik bagi membantu pihak sekolah mengenal pasti kehadiran pelajar.

"Teknologi ini dibangunkan oleh sebuah syarikat di Kuala Langat dan turut berpotensi memberikan makluman kepada ibu bapa apabila anak mereka tiba di sekolah.

"Intervensi yang kita laksanakan sebelum ini adalah untuk mengembalikan keyakinan pelajar dan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kerana selepas beberapa peristiwa, kehadiran hanya mencapai 30 peratus daripada keseluruhan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Shafie meminta kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan pelajar di pintu masuk sekolah, khususnya sekolah yang berhadapan dengan jalan utama dan kawasan industri.

Beliau turut membangkitkan isu ketiadaan pengawal keselamatan atau petugas untuk membantu pelajar melintas jalan di sesetengah sekolah agama di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain risiko pencerobohan individu luar yang boleh mengancam keselamatan murid.

Mengulas lanjut, Amirudin bagaimanapun berkata, perkara penting yang perlu diteliti ialah kos pelaksanaannya kerana setiap pelajar biasanya dikenakan caj antara RM5 hingga RM10 dengan membabitkan perbelanjaan keseluruhan ratusan ribu ringgit.

Jelas beliau, antara perkara yang akan diteliti termasuk pemasangan sistem kawalan masuk bagi mengesan individu tidak dikenali serta menghalang kemasukan bahan berbahaya seperti senjata tajam.

"Melalui sistem pendaftaran automatik menggunakan pengecaman wajah dan nama pelajar, ibu bapa juga boleh menerima makluman mengenai kehadiran anak mereka di sekolah," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut akan meneliti keperluan menyediakan warden trafik bagi membantu mengawal pergerakan pelajar, khususnya di kawasan sekolah yang sesak.

Katanya, perkara itu akan dirujuk kepada JAIS, terutama membabitkan sekolah agama di bawah seliaan jabatan berkenaan.

"Kita akan cuba menyusun semula peruntukan sedia ada untuk memberikan sokongan dari sudut warden trafik sama ada melantik individu atau syarikat yang menguruskan trafik.

"Kerjasama dengan pihak polis dan agensi berkaitan juga akan diteruskan termasuk bagi sekolah agama di bawah kelolaan JAIS," ujar beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved