SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Kita Selangor 2026 sebanyak dua bulan gaji atau dua bulan elaun dengan bayaran minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian bantuan itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam membantu rakyat.
Menurutnya, penghargaan itu turut mengambil kira peranan penjawat awam dalam melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang memberi tumpuan kepada golongan rentan, pelajar sekolah, wanita bekerja, petani dan pesawah.
"Bayaran ini akan menggunakan peruntukan tahun semasa meliputi emolumen anggota kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
"Implikasi kewangan bagi pelaksanaan bantuan ini adalah sebanyak RM100.31 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bantuan itu dijadualkan disalurkan pada 21 Disember depan.






