38 sekolah baharu dibina, kurangkan kepadatan murid

5 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 38 sekolah baharu dibina, kurangkan kepadatan murid

KUALA SELANGOR- Isu kepadatan murid di beberapa sekolah seluruh negara sedang ditangani Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi pembinaan bilik darjah tambahan dan sekolah baharu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu selaras dengan tumpuan kerajaan dalam menyediakan kemudahan pendidikan mencukupi terutama di kawasan yang mengalami pertambahan penduduk.

Menurut beliau, sebelum ini jumlah pembinaan sekolah baharu setiap tahun hanya sekitar sembilan hingga 12 buah, namun angka itu meningkat apabila 38 sekolah baharu diluluskan menerusi Belanjawan 2026.

“KPM di bawah Kerajaan Madani dalam beberapa tahun ini memberi fokus terhadap pembinaan sekolah baharu di kawasan yang mempunyai ramai penduduk.

“Sebagai contoh sebelum tahun 2022, jumlah sekolah baharu dibina pada setiap tahun adalah dalam lingkungan antara sembilan hingga 12 buah sekolah.

“Tetapi untuk tahun 2026, sebanyak 38 buah sekolah baharu diluluskan dalam belanjawan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eco Grandeur di sini, hari ini.

Mengulas pembinaan SJKC Eco Grandeur, Kah Woh berkata, projek berkenaan kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 2028.

Sekolah yang dibangunkan menerusi kerjasama awam dan swasta bernilai RM18 juta itu mampu menampung sehingga 960 murid pada satu-satu masa.

“Sebuah lagi sekolah menengah akan dibina di Bandar Puncak Alam menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Projek pembinaan sekolah ini sudah diluluskan dan kini berada di peringkat pra pembinaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post 38 sekolah baharu dibina, kurangkan kepadatan murid appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved