Selangor yakin capai sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028

13 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor yakin capai sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri yakin mampu mencapai sasaran penyediaan 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028 bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 57,000 unit Rumah Selangorku sudah siap dan diserahkan kepada pemilik masing-masing, manakala 34,000 unit lagi sedang dalam pembinaan.

“Kalau ikutkan secara keseluruhan sudah kira-kira 174,000 unit. Kalau ikut trend semasa, kita boleh lengkapkan, paling tidak yang dalam pembinaan. Untuk siap, kita perlu perkemaskan lagi terutamanya sasaran siap tahun depan.

“57,000 sudah siap dan serah kunci, ada 34,000 sedang dibina. Keseluruhannya 174,000 unit itu dan baki masih dalam Kebenaran Merancang (KM),” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Malam Aspirasi Perumahan 2026 sempena Simposium Perumahan Negeri-Negeri Se-Malaysia di sini, malam tadi.

Image from: Selangor yakin capai sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media dalam Malam Aspirasi Perumahan 2026, Membina Legasi Mencipta Masa Depan di Double Tree by Hilton, i-City Shah Alam pada 12 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Majlis dengan tema 'Membina Legasi, Mencipta Masa Depan' anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) itu turut dihadiri EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah serta wakil agensi perumahan negeri seluruh negara.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui pembinaan Rumah Selangorku turut tidak terlepas daripada cabaran semasa, khususnya ketika pergolakan di Selat Hormuz yang mengakibatkan harga bahan mentah semakin meningkat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi LPHS mengambil pendekatan melihat kesediaan pemaju bagi memastikan projek yang dirancang dapat diteruskan tanpa menjejaskan kemampuan pembeli.

“Cabaran besar kita tahun ini adalah peperangan di Selat Hormuz. Ia menyebabkan kos bahan api dan sekali gus meningkatkan kos pembangunan. Itu beri impak sebenarnya. Kita pantau secara dekat,” katanya.

Menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentang Ogos lalu, Kerajaan Selangor menyasarkan pembinaan 200,000 unit rumah mampu milik menerusi pelaksanaan dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman.

Image from: Selangor yakin capai sasaran 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan anugerah kolaborasi strategik kepada penerima dalam Malam Aspirasi Perumahan 2026, Membina Legasi Mencipta Masa Depan di Double Tree by Hilton, i-City Shah Alam pada 12 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved