
KAJANG: Baru tiga tahun menceburi sukan angkat berat, Ahmad Ridzuan Shah Roslan membuktikan dia mempunyai masa depan cerah apabila terus meraih pingat emas pada penampilan sulungnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Lebih membanggakan, kejayaan atlet Terengganu berusia 19 tahun itu hadir ketika dia terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan pinggang yang dialami hanya dua hari sebelum temasya bermula. Ahmad Ridzuan bagaimanapun tetap turun bertanding demi merealisasikan sasaran pasukannya.
Ahmad Ridzuan muncul juara acara 88kg selepas melakukan angkatan 130kg dalam snatch dan 150kg dalam clean & jerk untuk jumlah 280kg. Wakil Sabah, Henry Stephene Gampion meraih perak dengan 275kg, manakala gangsa milik Syafiq Afeef Sirhan Sawal Rudin dengan 263kg.
Menurutnya, kecederaan ketika menjalani latihan menyebabkan dia tidak dapat mengeluarkan kemampuan sebenar, namun semangat untuk berjuang buat Terengganu membuatkan dia mengetepikan kesakitan yang dialami.

“Angkatan pertama memang rasa sakit, tetapi untuk angkatan kedua saya lawan juga demi Terengganu. Saya tahu rekod saya jauh lebih baik, tetapi saya buat yang termampu,” katanya.
Ahmad Ridzuan yang memiliki rekod peribadi 135kg dalam snatch dan 170kg dalam clean & jerk berkata, kehadiran keluarga, saudara-mara serta orang kampung turut menjadi pembakar semangat untuknya memberikan persembahan terbaik.
“Saya buat yang terbaik kerana keluarga saya datang dan ramai orang kampung tengok saya. Saya mahu mengharumkan nama Terengganu,” katanya.
Menariknya, Ahmad Ridzuan hanya mula berjinak dengan angkat berat ketika berusia 16 tahun atau ketika berada di Tingkatan Empat selepas sebelum itu aktif dalam bina badan mengikut abangnya ke gimnasium. Dia pada awalnya menganggap dirinya sudah terlambat kerana kebanyakan atlet lain mula berlatih sejak usia lebih muda.
Namun, sokongan keluarga, rakan-rakan dan jurulatih, membuatkan dia terus bertahan sehingga mampu mencipta kejayaan dalam tempoh singkat.-UTUSAN
The post Hanya tiga tahun, Ahmad Ridzuan ‘angkat’ emas appeared first on Utusan Malaysia.






