
Kota Kinabalu: Usaha memperkasakan wanita bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan strategik dalam membina masa depan Sabah yang lebih mampan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki (gambar).
Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa percaya pembangunan Sabah tidak dapat mencapai potensi sepenuhnya tanpa penyertaan lebih besar wanita dalam proses membuat keputusan.
“Wanita hari ini bukan lagi sekadar memainkan peranan sokongan dalam pembangunan sosial dan institusi keluarga. Mereka telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin organisasi, usahawan, golongan profesional, pentadbir, ahli akademik dan pemimpin masyarakat yang berpengaruh.
“Oleh itu, memperkasakan wanita penting bagi memastikan potensi mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan negeri,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Graduasi Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWan) 2026 di sini, Sabtu. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantunya, Datuk Rina Jainal.
Majlis itu menyaksikan 74 wanita menamatkan pengajian daripada tiga kursus.
Julita berkata AKWan yang diterajui Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) menerusi inisiatif strategiknya, Global Leaders of Women @ Sabah (Glow@Sabah), yang memberi tumpuan kepada pendidikan, ekonomi dan kepimpinan dalam membangunkan potensi wanita, bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) sebagai sekretariat pelaksana bagi membangunkan generasi baharu pemimpin wanita yang berpengetahuan, berprinsip dan berdaya saing.
“Akademi ini menggunakan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi pengetahuan, malah turut memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah, keyakinan diri, nilai kepimpinan dan kemahiran membuat keputusan yang berkesan.
“Program AKWan memberi tumpuan kepada empat kategori utama kepimpinan iaitu pemimpin akar umbi, pemimpin muda, pemimpin politik dan pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus membolehkan pembangunan kepimpinan wanita dilaksanakan secara tersusun mengikut keperluan pelbagai sektor.
Sejak dilaksanakan, AKWan telah melatih 479 peserta menerusi tiga tahap latihan, membabitkan 272 peserta di Tahap Asas, 123 di Tahap Pertengahan dan 84 di Tahap Lanjutan.
“Silibus menyeluruh AKWan merangkumi bidang seperti perspektif gender dalam kepimpinan, pembangunan diri, integriti, komunikasi berkesan, kepimpinan organisasi, pemikiran kritis, pengurusan konflik, jaringan strategik, hak asasi manusia dan gender, sistem politik Malaysia dan antarabangsa, serta program bimbingan dan mentor.
“Semua modul ini disusun bagi memastikan peserta benar-benar bersedia untuk memimpin dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.
Julita berkata usaha itu juga selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah 2023-2032 yang menekankan pembangunan kepimpinan wanita, penyertaan lebih besar dalam proses membuat keputusan dan pembangunan kapasiti merentasi pelbagai sektor pembangunan.






