Selepas ambil alih Pelabuhan Bintulu, Sarawak rancang satukan kawal selia pelabuhan

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 3:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selepas ambil alih Pelabuhan Bintulu, Sarawak rancang satukan kawal selia pelabuhan Image from: Selepas ambil alih Pelabuhan Bintulu, Sarawak rancang satukan kawal selia pelabuhan hamden13/10/2026 - 15:32 Pelabuhan Bintulu

KUALA LUMPUR 13 Okt - Sarawak merancang menyatukan fungsi kawal selia pelabuhan di negeri itu di bawah Lembaga Pelabuhan Sarawak bagi memperkukuh integrasi, kecekapan logistik dan daya saing perdagangan.

 

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata langkah itu antara pendekatan untuk menyelaraskan pembangunan Pelabuhan Bintulu dengan pelabuhan lain di Sarawak, sekali gus mengoptimumkan peranan setiap pelabuhan.

 

Beliau berkata pengelompokan pelabuhan berdasarkan kelebihan geografi dan kekuatan industri masing-masing turut dirancang bagi mengelakkan pertindihan fungsi. 

 

“Penyusunan semula struktur tarif, penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan serta transformasi pengurusan kepada entiti korporat turut dikenal pasti sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kelestarian sektor berkenaan," katanya ketika soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

 

Beliau menjawab pertanyaan Christopher Gira Sambang (GPSTamin) yang ingin tahu perancangan Kerajaan Negeri Sarawak selepas mengambil alih sepenuhnya pengurusan dan operasi Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan.

 

Majang berkata pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan negeri membolehkan pembangunan pelabuhan itu diselaraskan dengan kepentingan ekonomi Sarawak, memandangkan peranannya sebagai pintu masuk perdagangan utama dan hab eksport gas asli cecair (LNG).

 

Beliau berkata pelabuhan berkenaan akan terus diperkasakan menerusi peningkatan kecekapan operasi, pembangunan prasarana moden dan pengukuhan sistem digital.

 

Pengambilalihan itu, katanya turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan aset strategik diurus selaras dengan kepentingan ekonomi serta hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved