
Pada 18 Julai 2026 lepas, perkhidmatan PMX AI telah diperkenalkan, dimana ia menawarkan akses untuk interaksi dengan kembar digital PM Anwar Ibrahim terus melalui WhatsApp. Perkhidmatan berkenaan dibangunkan oleh Zetrix AI dibawah platform Avatar.inc, dan merupakan salah satu inisiatif Parti Keadilan Rakyat.

PMX AI ini dikatakan dilatih menggunakan pelbagai tulisan, ucapan, dan rekod dasar kerajaan sepanjang pemerintahan PM Anwar Ibrahim. PMX AI juga akan terus dilatih dengan pelbagai kemaskini data dan kenyataan yang terkini. Langkah pengenalan PMX AI ini dikatakan merupakan usaha dalam memodenkan tadbir urus, selain memastikan kerajaan lebih mudah diakses, dan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumbalas dan info yang tepat dengan berinteraksi bersama PMX AI.
Selepas dilancarkan, perkhidmatan PMX AI menerima permintaan yang tinggi, membuatkan ia seterusnya tergendala hanya selepas sehari. Pada awalnya, PMX AI memaparkan notis yang mana ia akan kembali beroperasi selepas 20 Julai 2026. Namun, agak mendukacitakan kerana perkhidmatan yang menggunakan nama Perdana Menteri kita ini masih tergendala sehingga hari ini.
Apabila cuba menghantar sebarang mesej kepada PMX AI melalui WhatsApp, ia sekadar menyatakan mereka masih sedang mengemaskini dan akan kembali beroperasi dalam masa terdekat. Dengan lebih sebulan ia tergendala, ia agak mengecewakan dan membawa nama tidak begitu baik bukan sahaja kepada PMX AI, tetapi juga pembangun disebaliknya.

Dengan penangguhan yang sekian lama ini, ia tidak diketahui sama ada perkhidmatan PMX AI ini akan diteruskan, atau pembangunnya akan kuburkan dan lupakan begitu sahaja. Kelewatan dalam mengembalikan semula perkhidmatan secepat mungkin ini juga tidak memberikan gambaran yang baik kepada syarikat pembangunan disebaliknya, Zetrix AI.





