Jake Paul menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam seni bela diri campuran (MMA), selepas menewaskan Mike Tyson dalam perlawanan tinju di AT&T Stadium, Arlington, Texas, pada Jumaat, 15 November 2024.
Bekas bintang Disney itu menewaskan Tyson, 58, dalam perlawanan berat sebelah dan menggunakan media sosial untuk mencabar bintang UFC, Conor McGregor.
“Conor, saya tahu awak pernah beritahu pasukan saya yang awak akan lawan saya pada berat 170 paun. Itu tak akan berlaku.
“Tapi mari kita buat dalam MMA, tiada had berat. Seperti cara asal dulu. Tapi awak tak akan berani,” tulis Jake di X.
Dalam pada itu, Jake turut memuji Mike Tyson sebagai seorang “legenda” tinju dan berterima kasih atas peluang bertarung bersamanya.
“Terima kasih kepada semua, dan Mike Tyson kerana memberikan peluang ini. Terima kasih juga kepada keluarga, rakan-rakan, dan Tuhan,” tulisnya.
Jake menang menerusi keputusan juri sebulat suara dan mengakui dia memperlahankan serangan pada akhir perlawanan kerana melihat Tyson mula keletihan.
Ketika ditanya oleh wartawan di sidang media selepas perlawanan, Jake menjawab, “Ya, memang saya sengaja perlahan sedikit. Saya mahu peminat dapat persembahan yang menyeronokkan, tetapi saya tak mahu mencederakan sesiapa yang tak perlu dicederakan.” – Agensi
The post Selepas tewaskan Mike Tyson, Jake Paul cabar Conor McGregor bertarung dalam MMA appeared first on The Reporter.




