
PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Maldives bermula hari ini atas undangan Presidennya, Dr. Mohamed Muizzu.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri akan disambut dalam satu upacara sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Mohamed Muizzu.
Katanya, mesyuarat tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai kerjasama sedia ada serta membincangkan inisiatif bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Maldives.
“Ini terutamanya dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, integrasi digital, pembinaan kapasiti, pelancongan dan pembangunan mampan.
“Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya di sini hari ini.
Wisma Putra berkata, susulan mesyuarat berkenaan, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Kerjasama Pertahanan dan Hal Ehwal Islam.
Katanya, Mohamed Muizzu juga akan meraikan Perdana Menteri dalam satu Majlis Jamuan Negara.
Menurut Wisma Putra, pada tahun 2025, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Maldives kekal kukuh pada RM762.78 juta, dengan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM751.67 juta.
Katanya, Maldives kekal sebagai rakan dagang ke-6 terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dan merupakan destinasi eksport yang penting bagi Malaysia.
“Lawatan ini dijangka dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala serta memupuk pertumbuhan jangka panjang menerusi kerjasama dalam bidang yang membawa manfaat bersama.
“Ia berteraskan asas kukuh yang telah terbina sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1968,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Selesai di India, Anwar ke Maldives perkukuh hubungan dua hala appeared first on Kosmo Online.






