Selesaikah beban pekerja dengan gaji RM3,100?

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selesaikah beban pekerja dengan gaji RM3,100?

SAYA terpanggil untuk mengulas cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk kenaikan gaji minimum RM3,100 sebulan. Saya percaya hasrat MTUC ialah untuk memastikan pekerja tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
Masalahnya, apabila gaji minimum naik, kos barangan dan perkhidmatan juga akan naik. Kerap berlaku, kenaikan harga barang dan perkhidmatan lebih tinggi dari kenaikan gaji yang diperoleh oleh pekerja.
Ini kerana setiap barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan tenaga pekerja. Apabila gaji minimum naik bermakna kos pengeluaran atau jualan atau perkhidmatan yang ditawarkan juga akan naik. Bagi menampung kenaikan ini, sudah tentu harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan akan naik.
Perlu diingat, kenaikan gaji minimum bukan sahaja melibatkan gaji pekerja am tetapi juga kakitangan pejabat termasuk pengurus dan pengarah syarikat. Bahkan tuan punya syarikat, pemegang saham dan pelabur juga akan menuntut keuntungan yang lebih. Pada masa yang sama kos yang berkaitan, seperti kos penyelenggaraan bangunan dan lain-lain akan naik. Akibatnya, harga barang akan naik jika tidak lebih tinggi dari kenaikan gaji minimum.
Kenaikan gaji perlu diselaraskan dengan peningkatan produktiviti pekerja. Sekiranya produktiviti pekerja meningkat selaras dengan kenaikan gaji, maka kos pengeluaran akan kekal. Sebagai contoh, sekiranya dengan gaji minimum RM1,700, pekerja menghasilkan 1,000 produk sebulan, apabila gaji meningkatkan RM3,100, maka jumlah produk yang perlu dihasilkan sebulan ialah 1,824 unit. Kadar upah bagi satu unit produk kekal RM0.59.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Tanpa kawalan harga barang dan perkhidmatan yang tuntas, kenaikan gaji minimum tidak akan menyelesaikan masalah beban kos sara hidup yang meningkat. Sebaliknya, majikan akan terbeban dengan kenaikan kos.
Kontraktor perkhidmatan pembersihan adalah sektor yang amat terkesan dengan kenaikan gaji minimum. Ini kerana kontraktor terikat dengan harga kontrak yang telah ditandatangani sebelum kenaikan gaji minimum. Selain dari itu, bilangan pekerja yang perlu dibekalkan telah ditetapkan di dalam kontrak. Walaupun produktiviti pekerja meningkat, kontraktor masih perlu membekalkan bilangan pekerja yang sama dengan gaji yang lebih tinggi.
Harga kontrak semasa dianggarkan RM2,700 seorang pekerja, dengan gaji pokok RM1,700, termasuk caruman dan cuti tahun pekerja ia mencecah RM2,000 seorang pekerja. Sekiranya gaji minimum naik RM3,100, bermakna kontraktor akan kerugian RM400 seorang pekerja. Sekiranya kontraktor mempunya 50 orang pekerja bermakna kontraktor akan kerugian RM20,000. Tanpa penyelarasan harga kontrak berdasarkan kenaikan gaji minimum, kontraktor terpaksa menarik diri dari meneruskan kontrak tersebut.
Sekiranya sebahagian besar kontraktor menarik diri dari kontrak pembersihan sedia ada, kesannya amat buruk kepada negara. Imej negara sebagai sebuah negara yang bersih, sihat dan lestari akan terjejas.
Setiap cadangan yang ingin dikemukakan perlu difikirkan secara holistik, kesan dan implikasinya. Jangan kerana ingin menyelesaikan satu masalah menimbulkan berbagai masalah yang lain.

Noruddin Idris
Bekas Presiden
Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved