Seleweng dana RM230 juta: Timbalan NGO, pengarah syarikat lanjut reman

LocalPolitics
25 Apr 2026 • 11:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seleweng dana RM230 juta: Timbalan NGO, pengarah syarikat lanjut reman
Dua individu dilanjut reman lima hari lagi untuk siasatan kes seleweng dana kira-kira RM230 juta. Foto SPRM

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Yang Dipertua sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan seorang pengarah sebuah syarikat disambung reman lima hari untuk siasatan berkaitan penyelewengan dana pertubuhan itu berjumlah kira-kira RM230 juta.

Perintah reman sehingga 30 April terhadap kedua-dua suspek itu telah dikeluarkan Timbalan Pendaftar Faizah NorRanderan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Sabtu.

Sebelum ini, kedua-dua suspek telah direman selama empat hari sejak Rabu lalu.

Menurut sumber, terkini SPRM telah membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM150 juta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan penahanan kedua-dua individu berusia lingkungan 50 dan 60-an itu di sekitar Lembah Klang pada Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta dikesan berlaku dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan setakat ini tidak membabitkan sumber dana daripada mana-mana institusi zakat di negara ini.

Siasatan SPRM mendapati NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun dana itu tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana berkenaan untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah.