BEBERAPA hari ini kita dikejutkan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kemudian dilaporkan pula seorang pendakwah bebas ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Kedua-dua kes ini masih belum didakwa di mahkamah dan masih dalam siasatan awal pihak berkuasa. Jadi individu yang disiasat tidak boleh disabitkan sebarang kesalahan selagi belum dibuktikan di mahkamah mereka bersalah.
Peristiwa ketiga yang menggemparkan negara ialah krisis takhta di Negeri Sembilan apabila Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.
Krisis ini juga adalah satu perkara yang rumit untuk diulas kerana ia melibatkan persoalan perundangan. Sudah pasti pihak yang terlibat menggunakan interpretasi masing-masing bagi membuktikan mereka di pihak yang benar.
Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu sah.
Jelas Rais, Undang Sungei Ujong, Jelebu, Rembau dan Johol mempunyai hak menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Bagaimanapun, Rais yang juga pengkaji adat perpatih menyarankan agar krisis itu diselesaikan secara lunak untuk tidak mencemarkan adat dan nama mana-mana pihak.
Oleh demikian, kita semua mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan krisis tersebut sama ada dapat diselesaikan atau menemui jalan buntu.
Walau apapun yang berlaku anggaplah ini semua ujian kepada kita semua supaya tidak mudah tergoda dengan kuasa dan duit.
Sesiapa sahaja yang diberikan kuasa dan duit boleh memilih sama ada menggunakan keduanya ke arah perkara yang baik atau sebaliknya.
Di Amerika Syarikat Richard Nixon menjadi satu-satunya pemimpin di negara itu yang meletakkan jawatan selepas terlibat Skandal Watergate dengan menggunakan kuasa politik digunakan untuk melindungi kepentingan sendiri.
Di Malaysia juga terkenal dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penyelewengan dana berbilion ringgit.
Di Brazil, dua bekas Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan Luiz Inacio Lula da Silva didakwa atas tuduhan rasuah membabitkan Petrobras, syarikat minyak gergasi milik negara itu pada tahun 2017.
Jenayah itu dipercayai dilakukan sekitar pertengahan 2002 hingga 12 Mei tahun lalu apabila Dilma digantung jawatannya sebagai sebahagian daripada prosiding pemecatan.
Menurut dakwaan itu, Parti Pekerja mereka didakwa menerima wang berjumlah RM2.02 bilion dalam bentuk rasuah, menggunakan entiti awam termasuk Petrobras, Bank Pembangunan Nasional (BNDES) dan Kementerian Perancangan.
Puluhan pemimpin kanan dalam bidang politik dan ahli perniagaan berpengaruh disiasat atau disabitkan skandal rasuah yang tercetus pada 2014 itu.
Siasatan tertumpu kepada Petrobras, apabila permintaan tinggi terhadap kontrak pembinaan digunakan ahli perniagaan dan politik untuk menerima rasuah berbilion dolar.
Godaan terhadap kuasa dan duit begitu kuat hingga menimbulkan konflik moral. Seseorang itu tahu keputusan dan tindakan yang dibuat salah tetapi tetap perbuatan tersebut.
Akhirnya integriti dalam diri seseorang 'mati' sehingga sanggup mengetepikan amanah, kejujuran dan tanggungjawab demi keuntungan diri sendiri.
Ironinya semakin banyak kita bercakap dan berjuang melawan rasuah malangnya kes-kes seumpamanya terus berlaku seolah-olah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu tidak takut langsung dengan undang-undang negara.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian






