PENDEDAHAN kes penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM230 juta yang dikaitkan dengan seorang timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan sekadar angka yang mengejutkan tetapi satu tamparan besar terhadap nilai amanah dan kepercayaan masyarakat.
Lebih menyedihkan, dana yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan didakwa disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk pembelian aset mewah. Dan, lebih parah kerana perbuatan itu dilakukan dengan berselindung di sebalik nama agama dan kebajikan.
Kes itu membuktikan sumbangan orang ramai walaupun lahir daripada niat ikhlas untuk membantu, ia tetap berisiko jika tidak diurus dengan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Walaupun pihak berkuasa menegaskan siasatan masih berjalan dan tidak melibatkan institusi zakat secara langsung, hakikat dana kebajikan boleh diseleweng sudah cukup untuk menggugat keyakinan awam.
Isu sebenar bukan hanya jumlah wang yang hilang tetapi pengkhianatan terhadap harapan mereka yang bergantung kepada bantuan tersebut.
Setiap sumbangan membawa maksud besar kepada penerima sama ada untuk meneruskan kehidupan, mendapatkan rawatan atau sekadar memastikan kelangsungan harian.
Apabila amanah itu dikhianati, kesannya jauh lebih mendalam daripada kerugian kewangan semata-mata.
Justeru, kes ini wajar dijadikan pengajaran penting tentang keperluan memperkukuh sistem kawalan dalaman organisasi.
Mekanisme semakan, pemantauan dan pengasingan kuasa perlu dilaksanakan dengan lebih tegas bagi mengelak ruang manipulasi oleh individu tertentu.
Pada masa sama, kepimpinan organisasi perlu sentiasa menitikberatkan integriti sebagai asas utama, bukan sekadar bergantung kepada kepercayaan tanpa semakan.
Paling utama, tindakan tegas tanpa kompromi wajib diambil terhadap mana-mana individu yang tergamak mengkhianati amanah dan tanggungjawab diberikan demi memulihkan semula maruah sektor kebajikan negara. Jangan biarkan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.






