Seleweng dana sukuk: Lebih ramai saksi akan dipanggil, kes dijangka siap satu atau dua bulan

LocalPolitics
12 Jun 2025 • 1:31 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR Seramai 53 saksi telah dipanggil dalam siasatan kes penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang, melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua saksi itu telah selesai dirakam keterangan dan lebih ramai lagi  dijangka dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu melengkapkan siasatan.

“Kes ini akan mengambil masa sebulan atau dua untuk disiapkan kerana banyak perkara yang perlu dikaji serta dianalisis dokumen termasuk penyata kewangan.

“Rakaman percakapan daripada individu bergelar Tan Sri juga akan disambung hari ini,’’ katanya pada sidang media selepas majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang‑Undang Bertauliah SPRM kali kedua di Bangi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri. 

Dalam pada itu proses merakam merakam keterangan Tan Sri berkenaan memasuki hari kedua, hari ini selepas proses sama mengambil masa selama enam jam yang dijalankan semalam.

Selain keterangan yang diambil daripada Tan Sri terbabit, SPRM turut melakukan serbuan di kediaman pemegang konsesi itu di Melaka, namun tiada sebarang rampasan serta sitaan dilakukan. - 12 Jun, 2025