SEREMBAN – Seorang bekas ejen insurans dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyalahgunakan wang pelanggannya berjumlah RM150,000, empat tahun lalu.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Zul Ariff Ismail, 39, selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curangnya telah menyalahgunakan wang bayaran skim pelaburan sebuah syarikat insurans berjumlah RM150,000 yang diberikan oleh seorang lelaki berusia 41 tahun dengan sebab untuk mempercayai bahawa wang tersebut bukan hak tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 10 pagi, 5 Januari 2022 di sebuah bank di Nilai.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman minimum kerana sedang menjalani rawatan bagi penyakit kritikal di sebuah hospital di Melaka.
Dia yang berstatus duda dan kini berniaga memaklumkan mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun yang kini dijaga oleh bekas isterinya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Mohd Ideris, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa selepas terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud sehingga menyerahkan wang RM150,000.
Tambahnya, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.
“Mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang berat terhadap tertuduh sebagai langkah pencegahan supaya jenayah seperti ini tidak dilakukan oleh masyarakat, selain menjadi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.




