Seludup 20 tan beras guna laluan pedalaman

21 May 2026 • 4:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Seludup 20 tan beras guna laluan pedalaman
Muatan beras yang disita dalam dua buah lori yang ditahan di Pendang pada Khamis. - FOTO: Kawalselia Padi dan Beras Kedah

PENDANG – Empat lelaki ditahan selepas dua lori membawa kira-kira 20 tan beras tanpa dokumen sah ditahan dalam satu operasi di laluan pendalaman Kampung Padang, Mukim Tajar di sini pada Khamis.

Operasi dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras Kedah bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi melibatkan rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan pengangkutan barang secara tidak sah.

Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Kedah, Mohamad Nornizam Ramly berkata, kedua-dua lori berkenaan ditahan kira-kira jam 7.45 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori membawa kira-kira 200 kampit putih berisi beras dengan anggaran berat keseluruhan 10 metrik tan.

“Pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pengangkutan beras tersebut.

“Pemeriksaan ke atas sebuah lagi lori juga menemukan kira-kira 200 kampit beras dengan anggaran berat keseluruhan 10 metrik tan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, dua pemandu dan dua kelindan berusia lingkungan dewasa ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua lori bersama muatan beras telah disita untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Gudang Kawalselia Padi dan Beras Kedah.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah kira-kira RM52,000. Laporan polis akan dibuat selepas semua proses dokumentasi dan siasatan awal selesai dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang aktiviti penyelewengan melibatkan bekalan beras di negeri ini.