Semai Budaya Menabung Seawal Usia Melalui Program Junior Superhero Simpan SSPN Dan Program Permata Makmur

LocalFamily & Parenting
17 Oct 2025 • 4:27 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Semai Budaya Menabung Seawal Usia Melalui Program Junior Superhero Simpan SSPN Dan Program Permata Makmur

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dengan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program berimpak tinggi bagi memastikan akses kepada pendidikan lebih terjamin.

Program Junior Superhero Simpan SSPN merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang dilaksanakan bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia. Ia mula dianjurkan pada tahun 2023 dan diteruskan pada tahun 2025.

Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2025 telah diadakan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee Lee, Pengarah, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang, YBrs. Encik Boniface Basin Nyirob, Timbalan Pengarah Pengurusan HTAA, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN dan Puan Sapiza binti Ajuhari, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pahang.

image is not available

Melalui program ini, Pengerusi PTPTN telah menyantuni dan beramah mesra bersama ibu-ibu yang telah melahirkan cahaya mata. PTPTN berbesar hati memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu pada bulan Oktober 2025.

Sumbangan ini melibatkan pembukaan/ penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

PTPTN dan Kerajaan Negeri Pahang juga telah mengadakan kerjasama strategik melalui Program Permata Makmur mulai tahun 2024. Program Permata Makmur merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang yang memberikan bantuan secara one-off berjumlah RM300 kepada bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan pada tahun 2025 di negeri Pahang serta ibu atau bapa kepada bayi yang dilahirkan mestilah berusia 16 tahun ke atas.

Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM250 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM50 diberikan dalam bentuk barangan bayi.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Kerjasama antara PTPTN dan Kerajaan Negeri Pahang melalui Program Permata Makmur telah bermula sejak Tahun 2024. Usaha ini mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat Pahang, khususnya dalam aspek simpanan dan pendidikan.

Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan semenjak diperkenalkan. Jika dilihat, dalam tempoh Januari 2024 hingga 1 Oktober 2025, seramai 11,853 bayi kelahiran baharu telah menerima insentif ini yang disalurkan melalui akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM2.96 juta.”

image is not available

Sehingga September 2025, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN di negeri Pahang adalah sebanyak RM634.54 juta dengan 387,408 akaun telah direkodkan. Tahniah kepada masyarakat negeri Pahang kerana menjadi superhero kepada anak-anak melalui usaha menabung secara konsisten dalam Simpan SSPN. Jadikanlah Simpan SSPN sebagai simbol amanah dan kasih sayang ibu bapa dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak,” tambah beliau lagi.

Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2004 sehingga 30 September 2025, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM22.47 bilion dengan 7.16 juta akaun yang telah dibuka.

PTPTN akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. Maklumat lanjut dan permohonan Program Permata Makmur boleh dibuat secara dalam talian melalui permatamakmur.pahang.gov.my.