
KUALA LUMPUR - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad, untuk menyemak keputusan yang mengembalikan sabitan bersalah serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta ke atasnya.
Penolakan itu bermaksud beliau kekal di dalam penjara sehingga hukumannya tamat.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Mohd Isa untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Azizah yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk P Ravinthran berkata, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan dikemukakan di dua mahkamah bawahan.
Menurut beliau, panel berkenaan telah mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan serta hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
“Kami mendapati tiada kegagalan keadilan berlaku. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” katanya.
Mohd Isa kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan yang membebaskannya, sekali gus mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda dijatuhkan sebelum ini.
Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, sebagai balasan meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa atas kesemua pertuduhan rasuah tersebut.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhannya 54 tahun, selain denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan secara serentak.
Pada 6 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan selepas mendapati dakwaan pembayaran yang dibuat melalui dua saksi tidak disokong oleh keterangan yang boleh dipercayai.
Dua individu terbabit ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), iaitu bekas pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip, serta saksi pendakwaan ke-16 (SP16), Ikhwan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah, turut bersetuju bahawa pertuduhan yang dikemukakan adalah cacat kerana isu berkaitan kebimbangan Mohd Isa yang dikatakan boleh menyebabkan kontrak itu dibatalkan tidak dinyatakan dalam mana-mana daripada sembilan pertuduhan.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya pada 6 Mac 2024.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh. - Getaran, 26 Jun 2026




