Semakan ditolak, Mohd Isa kekal dipenjara enam tahun

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Semakan ditolak, Mohd Isa kekal dipenjara enam tahun
Mohd Isa

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Mohd Isa Abdul Samad berhubung sembilan kes rasuah berjumlah RM3.09 juta bagi pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Suasana pilu kemudiannya menyelubungi mahkamah apabila Mohd Isa, isterinya Datin Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid, ahli keluarga dan penyokong kelihatan sugul sejurus mendengar keputusan tersebut.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian selepas menolak permohonan bekas ahli politik berusia 77 tahun itu untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang mengembalikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika prosiding, Azizah yang bersidang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk P. Ravinthran berkata panel Mahkamah Persekutuan terdahulu mempunyai kuasa untuk menilai semula keterangan di kedua-dua mahkamah lebih rendah.

Katanya, ia sebelum panel mahkamah tertinggi negara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengembalikan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata hak untuk merayu dan didengar telah diberikan sepenuhnya oleh panel Mahkamah Persekutuan terdahulu, namun Mohd Isa selaku pemohon memilih untuk tidak menggunakan peluang tersebut.

“Seperti yang diputuskan mahkamah ini dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak melawan Pendakwa Raya, tiada berlaku salah laksana keadilan apabila mahkamah memberi peluang kepada pembelaan mengemukakan hujahan, walaupun mereka memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Atas alasan itu, kami mendapati tiada berlaku salah laksana keadilan, justeru permohonan ini ditolak,” katanya.

Semasa membacakan penghakiman, Azizah berkata Mohd Isa mengetahui sepenuhnya 34 alasan rayuan pendakwaan yang memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan.

Hakim itu berkata alasan tersebut termasuk isu kegagalan menyangkal anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta kegagalan menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata hujahan bertulis pihak pendakwaan turut menjawab isu pembelaan Mohd Isa dan secara khusus memohon supaya sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi dikembalikan.

“Sekali gus menunjukkan keseluruhan kes, sama ada berkaitan sabitan mahupun hukuman, berada di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

“Tiada rekod menunjukkan mana-mana pihak mengehadkan skop hujahan kepada isu tertentu atau memohon kebenaran untuk mengemukakan hujahan tambahan sekiranya timbul isu lain sepanjang prosiding rayuan,” katanya.

Beliau berkata pembelaan pemohon memilih untuk mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan tanpa menghujahkan merit pembelaan di Mahkamah Persekutuan.

Selepas membuat pilihan itu, pemohon tidak boleh mendakwa telah dinafikan hak untuk didengar.

Azizah berkata berdasarkan nota prosiding, panel Mahkamah Persekutuan tidak pernah menghalang atau mengehadkan Mohd Isa daripada mengemukakan sebarang hujahan sebelum keputusan rayuan diumumkan.

Beliau berkata dakwaan bahawa pemohon tidak diberi peluang berhujah mengenai merit pembelaannya juga tidak berasas.

Mengenai isu kegagalan membenarkan Mohd Isa membuat rayuan mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan, Azizah berkata panel Mahkamah Persekutuan hanya menjalankan bidang kuasa rayuan memandangkan sabitan telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, faktor mitigasi telah dipertimbangkan di Mahkamah Tinggi dan tidak memerlukan hujahan tambahan kerana pihak pendakwaan juga tidak memohon hukuman lebih berat.

Beliau berkata Mohd Isa mempunyai peluang mencukupi untuk mengemukakan hujahan pada prosiding 5 Februari dan sekali lagi sebelum keputusan rayuan lima hari kemudian.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membangkitkan sebarang bantahan atau memohon prosiding mitigasi tambahan.

“Justeru, sudah terlambat untuk mendakwa beliau dinafikan hak untuk didengar. Kami mendapati pemohon diberi peluang sepenuhnya melalui peguam untuk mengemukakan hujahan berhubung merit pembelaan dan mitigasi, namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Oleh itu, panel Mahkamah Persekutuan terdahulu telah melaksanakan bidang kuasa rayuannya secara adil mengikut Seksyen 87 dan Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya.

Dalam semakan ini, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan M. Athimulan yang hadir bagi pihak pemohon, manakala pihak pendakwaan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Difahamkan, buat masa ini Mohd Isa masih belum menjelaskan denda RM15.45 juta yang dikenakan terhadapnya.

Mohd Isa kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskannya dan mengembalikan sabitan, hukuman penjara dan denda.

Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) berharga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa atas semua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, pada 6 Mac 2024, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas mendapati bayaran yang dikatakan dibuat kepadanya melalui dua saksi tidak disokong bukti boleh dipercayai.

Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), Muhammad Zahid Md Arip dan SP16, Ikhwan.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mohd Isa menjalani hukuman penjara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan semula beliau atas kesalahan terbabit.

Ketika membaca keputusan sebulat suara, Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali berkata panel mendapati keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan bekas ahli politik itu adalah terkhilaf.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved