
PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) — Datuk Mohd Isa Abdul Samad kekal dipenjarakan enam tahun dan didenda RM15.45 juta selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Pengerusi FELDA itu untuk mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel terdahulu yang mengembalikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Sabitan dan hukuman itu membabitkan sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berkata pihak pembelaan sebenarnya telah diberikan peluang untuk mengemukakan hujahan berhubung merit pembelaan dan pengurangan hukuman, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Mohd Isa, 76, kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya dan mengembalikan sabitan serta hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dengan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024, sebelum pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta untuk dirinya melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip, daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel. Suapan itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015. Kini, satu-satunya jalan terakhir yang masih terbuka kepada Mohd Isa ialah memohon pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.
The post Mahkamah Tolak Semakan, Isa Samad Kekal Dipenjara, Denda RM14.45 Juta appeared first on The Malaysian Update.






