Semangat cinta ilmu, Fadhlina Sidek luah hasrat mahu sambung PhD

LocalPolitics
11 Apr 2025 • 12:12 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek luah hasrat mahu melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) menerusi sebuah hantaran di Facebook pada Khamis.

Meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai pemimpin negara, beliau tetap menunjukkan minat yang mendalam terhadap pembelajaran dan pengembangan diri.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menyatakan dia terpaksa melupakan hasrat tersebut buat masa ini atas sebab-sebab tertentu.

“Ada hasrat menyambung PhD tetapi nampaknya bukan sekarang.
“Barangkali pengalaman 20 tahun menjadi peguam syarie itulah tesis kehidupan saya.” demikian tulis Fadhlina.

image is not available

Fadhlina Sidek luah hasrat mahu sambung PhD

Berbalik kepada pengalaman, beliau memberitahu bulan April adalah bulan yang penuh makna buat dirinya sebagai seorang peguam syarie yang telah melalui perjalanan panjang dalam menuntut ilmu.

Baginya, tarikh ini bukan sahaja merayakan kenangan diterima sebagai peguambela dan peguamcara, tetapi juga menjadi titik permulaan kepada perjuangan hidupnya yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

“Rasanya saya adalah pelajar undang-undang paling lama belajar. Selesai sahaja ijazah pertama, terus disambung ijazah kedua ( syariah).
“Ketika sedang menjalani latihan dalam kamar, saya menyambung Diploma Pentadbiran dan Kehakiman Islam ( ketika ini bercita-cita mahu menjadi Hakim Syarie, tetapi saya tidak pandai Bahasa Arab, maka terpaksa lupakan cita-cita tersebut).
“Selepas berkahwin, sepertinya tiada henti, saya menyambung pula pengajian di peringkat Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia,”kongsinya.

image is not available

Fadhlina berkata, walaupun ada hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD, kini beliau lebih fokus untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang kariernya dengan masyarakat.

Bagi beliau, perjalanan menuntut ilmu adalah satu proses yang tidak akan pernah berhenti. Dalam setiap peringkat kehidupan, ilmu adalah alat untuk menempuh kepayahan dan mencapai pencerahan.

image is not available

“Iktibarnya apa? Bahawa sebagai orang yang sentiasa mencari ilmu pengetahuan, yang dahagakan pencerahan, sentiasa komited dengan agenda pencerdasan bangsa, maka jangan sesekali putus asa dalam menempuh kepayahan menuntut ilmu.
“Biar lelah ketika belajar dan menuntut ilmu, kerana kita tidak boleh lelah tatkala melawan kejahilan,” catatnya lagi.

Sumber: FB Fadhlina Sidek