
SHAH ALAM, 7 SEPT: Kecederaan siku yang dialami sejak empat bulan lalu tidak menghalang Badrul Hisam Musa meraih emas acara lempar cakera F13 pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.
Badrul Hisam berkata kesakitan di bahagian siku menjadi antara cabaran terbesar sepanjang persiapannya menghadapi temasya kali ini.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah dengan pingat emas serta rekod baharu kejohanan yang saya berjaya rangkul kali ini.
“Banyak saya korbankan untuk pingat emas ini dan sebenarnya saya masih cedera di bahagian siku sejak empat bulan lalu.
“Tetapi Alhamdulillah rezeki saya dapat emas walaupun bergelut dengan kecederaan sebelum ini,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) atas sokongan dan persiapan latihan yang diberikan menjelang temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, kejayaan itu juga hasil bimbingan jurulatih yang sentiasa memastikan beliau berada pada tahap prestasi terbaik.
Pada masa sama, Badrul Hisam turut mendedikasikan kemenangan tersebut kepada ibu bapa serta ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan di lokasi pertandingan.
Selepas kejayaan itu, beliau berharap dapat meneruskan momentum dengan menyumbang pingat emas buat negara pada Sukan Para ASEAN tahun depan.



