Sembilan jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir hingga 30 November - JPS

LocalEnvironment
26 Nov 2026 • 9:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Sembilan jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir hingga 30 November - JPS

KOTA BHARU, 26 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan susulan amaran hujan berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.

Menurut Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan yang dikemas kini pada 8 malam ini, kawasan berisiko berkenaan melibatkan jajahan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai bagi tempoh 24 hingga 30 Nov.

JPS memaklumkan kawasan yang berpotensi terjejas termasuk kawasan hotspot banjir, kawasan rendah serta kawasan berisiko di beberapa lembangan sungai utama di negeri itu.

Antara kawasan yang dikenal pasti ialah lembangan Sungai Golok melibatkan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, manakala lembangan Sungai Kelantan turut membabitkan Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai.

Di Pasir Puteh dan Bachok pula, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Semerak, selain Sungai Kelantan di Pasir Puteh serta Sungai Kemasin dan Sungai Gali di Bachok.

Antara sungai yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Kelantan, Sungai Ketereh, Sungai Semerak, Sungai Kemasin, Sungai Lebir dan Sungai Galas.

JPS memaklumkan pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan hebahan amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan berterusan di lembangan sungai berkenaan.

Menurut jabatan itu, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh dijangkakan.

Sehubungan dengan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya di kawasan yang dijangka terjejas, diminta sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran banjir terkini menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my serta Facebook PublicInfoBanjir.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved