KLANG – Sebanyak sembilan kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan barang buangan terjadual seberat lebih 192 tan dikesan dalam Op Green Shield ke-29 di Pelabuhan Klang, di sini pada Khamis.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Joint Task Force E-Waste Pelabuhan Klang yang diketuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 13 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam pemeriksaan ke atas beberapa kontena bermula jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari.
"Sebanyak 14 kontena diperiksa dalam operasi berkenaan bagi memastikan kandungannya mematuhi peraturan serta tidak melibatkan bahan terlarang.
“Hasil pemeriksaan mendapati lapan kontena mengandungi sisa elektronik dengan jumlah berat 172,009 kilogram manakala sebuah lagi kontena mengandungi barang buangan terjadual kod SW103 seberat 20,170 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Nik Ezanee berkata, dua kontena lain pula didapati membawa plastik waste dan metal scrap dengan jumlah berat 48,290 kilogram dan akan diserahkan kepada pihak SIRIM untuk taksiran lanjut.
"Keseluruhan berat rampasan bagi dagangan barang buangan terjadual adalah sebanyak 192,179 kilogram," katanya.
Menurutnya, semua kontena terbabit akan ditempatkan di lokasi selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan ibu pejabat JAS bagi tujuan re-eksport.
"Syarikat tempatan yang terlibat dipercayai membuat pengisytiharan palsu pada borang K1 bagi dagangan ini, tindakan penguatkuasaan diambil dan diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah beliau, AKPS akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu menerusi pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026].
“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.






