PELABUHAN KLANG – Cubaan membawa masuk lebih 420 tan sisa elektronik (e-waste) dan barang buangan terjadual secara haram terbongkar dalam Op Green Shield ke-28 yang dilaksanakan di Pelabuhan Klang pada Rabu.
Operasi bersepadu itu dijalankan Joint Task Force E-waste Pelabuhan Klang yang diketuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, operasi melibatkan 13 anggota daripada pelbagai agensi berkenaan dijalankan bermula jam 10.30 pagi hingga 1.30 petang.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas beberapa kontena bagi memastikan kandungannya mematuhi peraturan selain tidak melibatkan bahan terlarang.
"Sebanyak 25 kontena diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati 17 kontena mengandungi sisa elektronik dengan jumlah berat 396,421 kilogram.
"Selain itu, dua lagi kontena didapati mengandungi barang buangan terjadual kod SW417 seberat 24,534 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, keseluruhan berat rampasan melibatkan 420,955 kilogram.
Katanya, semua kontena terbabit kini ditempatkan di lokasi selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan ibu pejabat JAS bagi tujuan re-eksport.
Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati syarikat tempatan terbabit membuat pengisytiharan palsu pada borang K1 bagi dagangan berkenaan.
"Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil dan kes diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, AKPS akan terus mempertingkat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa elektronik terlarang ke negara ini.
Menurutnya, tindakan itu selaras dengan pelaksanaan larangan mutlak import e-waste yang berkuat kuasa pada 1 April lalu menerusi pewartaan Perintah Kastam (Pindaan) (No. 3) 2026 [P.U.(A) 151/2026].
"AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara," katanya.






