
KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan semua 145 aktivis misi berkenaan telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
Beliau berkata sembilan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) juga dilaporkan selamat selepas kapal dinaiki mereka dirampas secara haram rejim Zionis semalam sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Kamarul Zaman berkata peguam ADALAH juga telah bertemu dengan tujuh rakyat Malaysia bagi urusan guaman selanjutnya.
“Dua orang lagi dijangka dapat ditemui hari ini (waktu Gaza)” katanya ketika sidang media perkembangan terkini FFC di sini hari ini.
Menurut Kamarul Zaman, peguam ADALAH turut memohon untuk menghadiri semua perbicaraan melibatkan aktivis yang ditahan dan akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Terdapat di antara mereka mengalami keganasan semasa pemintasan dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini (waktu Gaza),” katanya.
Beliau berkata aktivis-aktivis juga melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian, power bank dan lain-lain telah dirampas, namun tiada kecederaan serius setakat ini disahkan termasuk kemungkinan berlakunya insiden keganasan terhadap delegasi Malaysia.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman memaklumkan terdapat kemungkinan tiga ahli parlimen Turki yang menyertai flotilla berkenaan akan dihantar pulang sama ada malam ini atau pagi esok.
“Perbicaraan tribunal melibatkan semua delegasi yang ditahan termasuk dari Malaysia dijangka diadakan dalam tempoh dua hari lagi sebelum mereka boleh dibebaskan,” jelasnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan sudah menghubungi Presiden Turkiye Presiden Recep Tayyip Erdogan dan usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menguruskan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG yang disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 buah negara dengan menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad dipintas tentera Zionis, semalam ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi doktor perubatan, Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad. - 9 Oktober, 2025
The post Sembilan sukarelawan Malaysia misi FFC x TMTG selamat, dipindah ke penjara Ketziot: MyCare appeared first on Scoop.


