
AMPANG JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas didapati tiada di rumahnya di Pangsapuri Sri Mayang, Pandan Indah Komersil Park di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja berkenaan kira-kira pukul 8.34 malam, semalam.
“Kehilangan remaja dikenali sebagai Dhia Zahraaxavieta Neelopher Harisman itu disedari kira-kira pukul 10 malam pada 2 Ogos lalu selepas didapati tiada di rumah.
“Usaha keluarga mencarinya bagaimanapun gagal sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, remaja terbabit dipercayai keluar memakai baju berwarna biru dan seluar kelabu.
“Dia mempunyai ketinggian 1.57 meter, berat 40 kilogram, berkulit putih sawo matang, rambut panjang hingga paras separuh badan berwarna perang dan tidak memakai cermin mata,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja berkenaan supaya tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di talian 03-42897222.
Jelasnya, maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104.
Khairul Anuar turut menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing dan tidak membenarkan mereka keluar bersendirian. – KOSMO! ONLINE
The post Seminggu gagal dikesan, di mana Dhia Zahraaxavieta Neelopher? appeared first on Kosmo Digital.




