Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang wanita maut selepas dipercayai ditikam suaminya sebanyak 13 kali dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim Hi-Tech, malam tadi.
Menurut laporan, wanita berusia 39 tahun itu mengalami tujuh tikaman di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, suspek berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas kira-kira jam 8.40 malam dan memaklumkan bahawa dia telah menikam isterinya di rumah mereka.
Bertengkar isu cemburu
Suspek turut menyerahkan sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Menurut polis, kejadian berlaku di bilik tidur utama sebuah rumah teres setingkat yang didiami suspek, mangsa dan anak mereka yang berusia tiga tahun.
Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kesan dipercayai darah pada cadar, tilam, bantal, kepala katil serta beberapa barangan lain di atas katil.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas pasangan itu bertengkar berkaitan isu cemburu dan masalah rumah tangga.

Artikel berkaitan: Terlalu Cemburu, Suspek Tik*m Isteri Pernah Pergi Jumpa Bomoh
Artikel berkaitan: “Tak sangka bergaduh sampai jadi macam ni” – Suami Tikam Isteri, Anak Menangis Di Sisi Mayat Ibu
Sempat mandi & ambil anak dari pengasuh
Selepas kejadian itu, suspek dikatakan sempat mandi sebelum mengambil anak mereka daripada pengasuh. Dia kemudian menyerahkan anaknya kepada kakaknya di kawasan R&R Juru, Pulau Pinang.
“Suspek turut memaklumkan kepada kakaknya dia menikam isterinya sebelum ke Balai Polis Lunas untuk menyerah diri,” katanya.
Suspek yang juga seorang penganggur kemudian ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim di Balai Polis Lunas.
Tambah beliau, ujian air kencing mendapati suspek bebas pengambilan bahan terlarang dan tiada rekod lampau. Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo!
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.




