Sempena Ulang Tahun Ke-9, CHAGEE Perkenal Maskot Istimewa ‘Teadore’ & Siri BO·YA Mango Jasmine Green Edisi Terhad

16 Nov 2026 • 7:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Sembilan tahun dalam dunia teh, CHAGEE kini membawa kemeriahan sambutan ulang tahunnya ke Malaysia dengan memperkenalkan Teadore, maskot istimewa yang tampil dengan sentuhan budaya tempatan.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan pengenalan minuman edisi terhad BO·YA Mekar Melati Mangga (Mango Jasmine Green), yang menggabungkan keharuman teh melati dengan rasa manis buah mangga. Bukan itu sahaja, pelanggan juga berpeluang menikmati pelbagai ganjaran menerusi kempen Tear & Win yang berlangsung di seluruh negara.

Siri minuman baharu itu mula ditawarkan sejak 6 November lalu, manakala kempen Tear & Win bakal berlangsung dari 15 hingga 17 November 2026. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun kesembilan CHAGEE pada 17 November ini, yang turut menandakan tahun pertama jenama itu meraikan ulang tahunnya sebagai sebuah jenama global.

Daripada Sebuah Kedai Kepada Keluarga Global

CHAGEE memulakan perniagaannya dengan pembukaan kedai pertama di Yunnan, China pada 2017. Selepas sembilan tahun, jenama itu kini berkembang kepada lebih 7,600 cawangan di China, Asia Pasifik dan Amerika Utara.

Buat julung kalinya, semua pasaran CHAGEE akan meraikan ulang tahun tersebut secara serentak pada November ini menerusi tema “One World. One CHAGEE.”

Di Malaysia, CHAGEE membuka cawangan pertamanya pada 2019 sebelum mula mempunyai cawangan yang diperakui halal sejak 2023.

Menurut jenama itu, semua menu baharu CHAGEE di Malaysia melalui proses permohonan pensijilan halal JAKIM sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan menerusi amalan yang telus dan bertanggungjawab.

Kenali Teadore, Sahabat Istimewa Sempena 9 Tahun Chagee

Teadore merupakan seekor gajah berwarna hijau yang dicipta khas sempena ulang tahun kesembilan CHAGEE, dengan inspirasi daripada Laluan Kuda Teh Purba (Ancient Tea Horse Road).

Laluan bersejarah itu menjadi saksi kepada perjalanan perdagangan teh merentasi pergunungan, sempadan dan komuniti. Gajah turut memainkan peranan dalam perjalanan tersebut dengan membantu mengangkut bekalan teh melalui laluan yang mencabar.

Sehubungan itu, Teadore dihasilkan sebagai simbol kepada perjalanan panjang warisan teh yang menjadi sebahagian daripada identiti CHAGEE.

Image from: Sempena Ulang Tahun Ke-9, CHAGEE Perkenal Maskot Istimewa ‘Teadore’ & Siri BO·YA Mango Jasmine Green Edisi Terhad

Menampilkan warna hijau, telinga berbentuk daun serta elemen huruf “C” khas CHAGEE, maskot itu turut membawa sentuhan tempatan menerusi persalinan busana kebaya yang dihiasi perincian Bunga Raya, sebagai penghormatan kepada bunga kebangsaan Malaysia.

Menariknya, Teadore di pasaran lain turut menampilkan elemen budaya tempatan masing-masing, sekali gus menjadikan koleksi ini sebahagian daripada sambutan global CHAGEE.

Koleksi Teadore edisi terhad akan ditawarkan kepada pelanggan sepanjang sambutan ulang tahun berkenaan.

Sentuhan Tropika Pada Minuman Kegemaran CHAGEE

Sempena sambutan kali ini, CHAGEE turut memperkenalkan BO·YA Mekar Melati Mangga (Mango Jasmine Green), iaitu olahan baharu minuman BO·YA Mekar Melati yang menggabungkan keharuman teh melati dengan kemanisan buah mangga.

Siri minuman ini ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu teh susu dan teh bru.

Menariknya, minuman tersebut menggunakan gabungan empat jenis teh melati dari Yunnan yang dipilih secara teliti bagi menghasilkan profil rasa lebih kaya dan berlapis.

Setiap jenis teh memainkan peranan tersendiri, daripada membentuk struktur dan kepekatan rasa sehinggalah menyerlahkan aroma bunga serta keharuman melati.

Gabungan itu kemudiannya dipadankan dengan puri mangga segar menggunakan Small Tainong Mango dari Hainan, yang terkenal dengan aroma harum, nota madu bunga serta kemanisan berkrim yang lembut.

Bagi mengekalkan keaslian aroma teh dan buah, daun teh turut melalui proses penguncian aroma buah, iaitu teknik pengeringan pada suhu rendah bagi memelihara keharuman kedua-dua bahan tersebut.

Potongan mangga kering beku (freeze-dried) turut ditambahkan bagi memberikan rasa mangga yang lebih menyerlah.

Hasilnya, minuman ini menawarkan gabungan rasa mangga masak ranum pada tegukan pertama, diikuti keharuman melati serta rasa akhir yang bersih dengan sentuhan bunga dan buah, sambil mengekalkan karakter asal BO·YA Mekar Melati.

Tear & Win Tawarkan Pelbagai Ganjaran Kepada Pelanggan

Ok sekarang kita sembang mengenai kempen Tear & Win pula!

Kempen ini akan berlangsung dari 15 hingga 17 November 2026 di cawangan terpilih seluruh negara.

Pelanggan yang membeli sekurang-kurangnya satu cawan daripada empat minuman terpilih, iaitu BO·YA Mekar Melati Mangga Bersusu (Mango Jasmine Green Milk Tea), BO·YA Mekar Melati Bersusu (Jasmine Green Milk Tea), White Peach Oolong Milk Tea atau Da Hong Pao Milk Tea, akan menerima cawan Tear & Win.

Setiap cawan menawarkan peluang untuk memenangi pelbagai ganjaran istimewa, termasuk baucar diskaun dan hadiah eksklusif. Bagaimanapun, jumlah cawan yang disediakan adalah terhad setiap hari.

Menurut CHAGEE, Tear & Win pada asalnya diperkenalkan sebagai tradisi sempena pembukaan cawangan baharu. Namun, bagi sambutan ulang tahun kali ini, aktiviti tersebut diperluaskan ke seluruh negara sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

Pengurus Besar CHAGEE Malaysia, Eason Fang berkata, sambutan ulang tahun kesembilan itu bukan sekadar meraikan perkembangan perniagaan, malah menghargai hubungan yang terjalin bersama pelanggan sepanjang perjalanan jenama berkenaan.

“Ulang tahun kali ini amat bermakna bagi kami kerana buat pertama kalinya, kami meraikannya bersama sebagai satu jenama global.

“Menerusi sahabat istimewa kami, Teadore, siri BO·YA Mekar Melati Mangga dan aktiviti Tear & Win, kami berharap untuk terus menyatukan orang ramai menerusi secawan teh, serta mencipta detik-detik kebersamaan yang menyerikan sambutan ini,” katanya.

Butiran Produk

Siri BO·YA Mekar Melati Mangga (Mango Jasmine Green) boleh didapati sepanjang kempen sambutan Ulang Tahun Kesembilan CHAGEE.

Pelanggan juga berpeluang mendapatkan cenderamata ulang tahun edisi terhad serta koleksi Teadore sepanjang tempoh sambutan tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved