
KUALA TERENGGANU – Seorang wanita warga emas yang ditimpa musibah apabila rumahnya musnah dalam kebakaran terkejut apabila mendapati beberapa naskhah al-Quran yang disimpan di dalam almari masih berada dalam keadaan baik di Perumahan Teluk Pasu, di sini, kelmarin.
Kebakaran pada pukul 7.10 malam itu menyebabkan Nafisah Endon, 72, kerugian lebih RM300,000 apabila semua harta bendanya termasuk wang tunai, barang kemas dan mesin jahit digunakan untuk mencari pendapatan hangus terbakar.
Katanya, sewaktu kejadian, dia yang berada di dalam bilik air terhidu asap tebal sebelum segera keluar rumah bagi menyelamatkan diri.
“Api yang berpunca dari salah sebuah bilik begitu marak sehingga saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Begitupun, kami terkejut naskhah al-Quran yang kami simpan di dalam sebuah almari tidak terjejas langsung,” katanya ketika ditemui di Perumahan Teluk Pasu, di sini, semalam.
Kebakaran terbabit bukan sahaja memusnahkan rumah teresnya malah turut menjejaskan sebahagian struktur bumbung dua rumah jirannya bersebelahan.
Nafisah berkata, penemuan itu agak menakjubkan kerana almari bagi menyimpan al-Quran dan barangan lain hangus menyebabkan dirinya menganggap naskhah suci itu terpelihara daripada terbakar sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran Allah.
Sementara itu, anak Nafisah, Nurul Hasni Ahmad, 34, berkata, dia panik melihat rumah sedang marak terbakar sewaktu pulang ke rumah selepas membawa dua anaknya bermain di taman permainan berhampiran.
“Mujur mak (Nafisah) sempat keluar menyelamatkan diri. Api sangat marak dan merebak ke rumah jiran-jiran kira-kira 10 minit kemudian. Saya sekeluarga terkejut satu-satunya barangan yang terselamat adalah naskhah al-Quran,” katanya.
The post ‘Semua harta terbakar kecuali naskhah al-Quran’ appeared first on Kosmo Online.



![“Semua Berlaku Sangat Pantas” – Lelaki Kongsi Kisah Ibu Mentua Jadi ‘Bidan’ Sambut Kelahiran Cucu Dalam Kereta [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/ibu-mentua-sambut-kelahiran-anak-dalam-kereta.jpg?t=1788842659)