“Semua Berlaku Sangat Pantas” – Lelaki Kongsi Kisah Ibu Mentua Jadi ‘Bidan’ Sambut Kelahiran Cucu Dalam Kereta [Video]

Family & ParentingLifestyle
8 Sep 2026 • 12:42 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Semua Berlaku Sangat Pantas” – Lelaki Kongsi Kisah Ibu Mentua Jadi ‘Bidan’ Sambut Kelahiran Cucu Dalam Kereta [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Buat wanita hamil, kebiasaannya hospital menjadi destinasi utama lebih-lebih lagi jika badan sudah mula menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan.

Namun berbeza dengan seorang wanita ini yang berdepan pengalaman yang jarang berlaku apabila proses bersalinnya menjadi mudah sehingga melahirkan anak di dalam kereta.

Isteri Lahirkan Anak Dalam Kereta, Ibu Mentua Jadi Bidan Sambut Bayi

Perkara itu dikongsikan oleh suami wanita itu sendiri, Siraj Yasman dalam satu hantaran di TikTok baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik, Siraj berkongsi detik mencemaskan itu apabila isterinya, Nuraisyah Fauzi tidak sempat sampai ke hospital dan melahirkan anak keenam mereka di dalam kereta jenis pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima pada Sabtu (5 September) lalu kira-kira jam 1.55 pagi.

Apa yang menjadi perhatian adalah bayi lelaki tersebut disambut oleh ibu mentuanya sendiri, Rosminie Che Yusoff ketika mereka semua dalam perjalanan ke hospital di Kota Bharu, Kelantan.

“Tak sempat sampai hospital dah terkeluar. Masya-Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.

“Takde yang dapat digambar, semua berlaku dengan sangat pantas dan tak pernah terlintas di fikiran kami.

“Terlalu cepat dan terlalu mudah dan alhamdulillah semua selamat,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Isteri Lahir Anak Keenam, Alami Kontraksi & Sangka Sakit Biasa

Berkongsi kisah mengenai pengalaman itu, Siraj yang merupakan seorang guru al-Quran dan berusia 39 tahun menjelaskan ketika kejadian, Toyota Estima terbabit dipandu oleh abangnya yang dikenali sebagai Fakhrurrozi.

Tambah Siraj, isterinya yang berusia 28 tahun telah memberitahu bahawa perutnya mengalami kontraksi ketika berada di rumah mereka yang terletak di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Gual Tinggi dekat Rantau Panjang pada jam 11 malam.

Siraj pada awalnya menyangka ia hanyalah sakit biasa apatah lagi berdasarkan pengalaman isterinya melahirkan lima anak sebelum ini, pasangannya itu masih boleh bertahan sehingga waktu Subuh.

“Pada pukul 1.40 pagi, saya sudah bersiap-siap dan pergi ke rumah ibu mentua yang tinggal di kawasan sama sebelum menaiki MPV milik abang ipar untuk membawa Nuraisyah ke Hospital Pakar KPJ Perdana.

“Ketika tiba di Kampung Pendek selepas 15 minit perjalanan, isteri memaklumkan bahawa kainnya basah dan kepala anak kami sudah keluar.

“Ibu mentua saya yang duduk di tempat duduk penumpang depan terus berpusing dan menjadi bidan menyambut kelahiran anak keenam kami,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Suami Panik, Hanya Mampu Berselawat & Berzikir Ketika Lihat Ibu Mentua Sambut Kelahiran Bayi

Kongsi Siraj, dia berada dalam keadaan panik dan hanya mampu berselawat serta berzikir sebaik melihat ibu mentuanya menyambut kelahiran cahaya mata tersayang di dalam kereta tersebut.

Malah, kakak iparnya yang berada di tempat duduk penumpang bahagian belakang MPV berkenaan turut sempat merakamkan momen berharga itu.

“Selepas bersalin, saya terus memangku anak lelaki dan melaungkan azan ke telinganya.

“Saya masih ingat, abang ipar memandu MPV dalam keadaan sangat laju untuk tiba di hospital. Mujur tiada apa-apa yang berlaku kepada kami.

“Apabila tiba di Hospital Pakar KPJ Perdana, jururawat dan staf hospital tersebut sudah menunggu kami di lobi kerana saya sudah menghubungi mereka selepas isteri bersalin di dalam MPV.

“Ibu mentua juga tiada pengalaman menjadi bidan, tetapi dia ada memaklumkan pernah melihat video kaedah bersalin di TikTok sebelum ini.

“Daripada video itu, dia cuba membantu isteri saya ketika melahirkan anak kami dalam keadaan darurat,” ujarnya.

Kongsi Siraj lagi, isteri dan anaknya yang masih belum diberikan nama itu berada dalam keadaan sihat ketika tiba di hospital.

Sebelum ini, rakaman video memaparkan detik mencemaskan itu menjadi sohor di media sosial sehingga mendapat lebih empat juta tontonan.

Bayi Lahir Di Rumah Atau BBA Perlu Dibawa Ke Hospital Dalam Masa 24 Jam

Menerusi semakan kami dalam Polisi Operasi Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G), Hospital Kota Marudu, Sabah, ibu yang melahirkan bayi di rumah atau Born Before Arrival (BBA) dalam masa 24 jam hendaklah terus dimasukkan ke wad bagi pemerhatian rapi.

Bagi kes BBA yang lahir dalam lingkungan kawasan hospital dikira sebagai kelahiran hospital, sekiranya tali pusat bayi dipotong oleh kakitangan paramedik dalam 21 radius km.

@sirajyasman87

Tak sempat sampai hospital dah terkeluar… Masya Allah.. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar.. Takde yang dapat digambar, semua berlaku dengan sangat pantas dan tak pernah terlintas di fikiran kami.. Terlalu cepat dan terlalu mudah.. dan alhamdulillah semua selamat.. Takde ucapan yang dapat digambarkan… “Maha Baiknya Allah”.. Rupanya kes macam ni kalau ada pon sekali dalam setahun bak kata doktor 5/9/2026 (Sabtu) 1.55 pagi

♬ original sound – DNP – DNP

Tonton video penuh [DI SINI]

Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Kongsi Detik Cemas, Penumpang Lahirkan Anak Dalam Kereta Ketika Perjalanan Ke Hospital

Baca Artikel Berkaitan: Pengguna Jalan Raya Berganding Bahu, Bantu Wanita Bersalin Di Bahu Jalan Raih Pujian [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Hati Dah Berdebar” – Doktor Ini Kongsi Pengalaman Sambut Bayi Lahir Dalam Lori Di Tepi Lebuh Raya

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved