Semua juruterbang Malaysia Airlines negatif dadah

LocalHealth & Fitness
17 Aug 2026 • 1:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Semua juruterbang Malaysia Airlines negatif dadah

SEPANG- Malaysia Aviation Group (MAG) selesai melaksanakan saringan dadah terhadap semua juruterbang aktif Malaysia Airlines dengan kesemuanya disahkan negatif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, saringan dadah mandatori itu selesai dilaksanakan pada 15 Ogos lalu.

Katanya, proses berkenaan sebahagian daripada langkah memperkukuh aspek keselamatan dan kecergasan untuk bertugas di seluruh operasi MAG.

“Penyelesaian fasa pertama itu merupakan satu pencapaian penting dalam langkah-langkah yang telah ditetapkan kumpulan, namun usaha berkenaan akan diteruskan.

“Keselamatan kekal menjadi teras dalam setiap keputusan yang kami ambil dan akan terus melaksanakan langkah-langkah diperlukan bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan piawaian operasi serta memastikan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Media sebelum melaporkan kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines akan menjalani saringan dadah sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.

Susulan itu, MAG akan memasuki fasa berikutnya dengan melakukan saringan terhadap 2,840 kru kabin Malaysia Airlines bermula 18 Ogos secara berperingkat dengan sasaran selesai pada 3 September depan.

Saringan turut akan dijalankan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan, Firefly.

Sehingga 15 Ogos lalu, lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly telah menjalani saringan dengan semua keputusan yang diterima setakat ini menunjukkan keputusan negatif.

Kata kenyataan itu, Firefly dijangka melengkapkan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabinnya menjelang 25 Ogos, lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MAG bagi mencegah dan menghapuskan penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi, kumpulan akan meneruskan program ujian rawak secara berterusan.

“Langkah dipertingkatkan itu melengkapi rangka kerja kecergasan untuk bertugas sedia ada MAG yang merangkumi saringan sebelum pengambilan pekerja, pemeriksaan kesihatan, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala selain pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan serta penilaian kecergasan kru,” katanya.

Jelas kenyataan itu, MAG kekal komited untuk mengekalkan piawaian keselamatan dan profesionalisme yang ketat di seluruh syarikat penerbangannya serta memperkukuh langkah pencegahan bagi melindungi kesejahteraan pekerja, penumpang dan operasi. – KOSMO! ONLINE

The post Semua juruterbang Malaysia Airlines negatif dadah appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved