
PETALING JAYA – Penampilan beberapa figura terkenal yang memakai busana biru pada Julai lalu mula menjadi perhatian apabila timbul dakwaan mereka dipercayai menghadiri majlis resepsi perkahwinan penyanyi Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.
Perkara itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat susulan spekulasi mengenai status hubungan dua penyanyi popular berkenaan yang kembali hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Netizen kembali mengorek foto-foto lama beberapa selebriti pada Julai lalu antaranya Nadeera Zaini, Wany Hasrita, Marsha Milan, Syuhaida Abraz (Dotty) dan orang kuat stesen televisyen dan syarikat rakaman.
Tidak ketinggalan pereka fesyen, penata gaya dan jurusolek yang dilihat turut berkongsi momen mereka di lokasi yang sama.
Kesemua figura tersebut memakai baju berwarna biru muda dan berkongsi foto berada di sebuah hotel di ibu kota yang dipercayai menjadi lokasi majlis resepsi Hael dan Dayang.
Menjengah ke ruangan komen foto-foto tersebut, ada yang sempat bergurau apabila ditanya ke mana destinasi yang ditujui pada hari tersebut. Jawab salah seorang figura yang dikenali itu, dia hanya mahu menghadiri majlis hari jadi rakannya.
Terdahulu spekulasi mengenai status hubungan Hael dan Dayang kembali diperkatakan ramai selepas Hael didakwa memperkenalkan Dayang sebagai isterinya kepada bintang Korea Selatan, Lee Jun-Ho.
Netizen mendakwa gerak bibir pelantun lagu Jampi itu seolah-olah dia berkata Dayang ialah isterinya.
Lebih menguatkan spekulasi apabila sekeping foto Dayang yang didakwa memakai busana pengantin didedahkan.
Bagaimanapun, maklumat itu belum disahkan secara rasmi oleh kedua-dua penyanyi terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Semua pakat ‘up’ dres tema biru Julai lalu, ada kenduri apa? appeared first on Kosmo Online.






