Semua Pintu Pagar Balai Polis Akan Ditutup Selepas Jam 10 Malam

Entertainment
9 Jul 2024 • 4:10 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kesemua cawangan balai polis di negara ini bakal ditutup pintu pagar selepas jam 10 malam, ia bagi memastikan keselamatan di premis berkenaan susulan dengan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut diambil bagi mengimbangi keperluan untuk masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

“Ekoran peristiwa di Balai Polis Ulu Tiram, tindakan segera PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran supaya perbaiki beberapa arahan.”

“Susulan isu sama, arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polis Negara turut memasukkan supaya balai polis ditutup selepas jam 10 malam.

“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan dalam masa sama balai polis juga turut jadi sasaran. Jadi, kita kena imbangi kedua-duanya.”

image is not available

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (Gabungan Parti Sarawak – Serian) berkenaan dengan langkah keselamatan di balai polis susulan dengan insiden di Balai Polis Ulu Tiram dalam Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai langkah-langkah diambil untuk menghadapi ancaman pengganas, Saifuddin Nasution berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

Jelasnya lagi, polis akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi memastikan ancaman atau fahaman berbaur pengganas tidak terus tersebar di negara ini.

Untuk rekod, pada Mei lalu, berlaku insiden berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang menyaksikan dua anggota polis terkorban dan seorang anggota cedera akibat terkena tembakan di bahu selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala suspek juga dilaporkan meninggal dunia.

Sumber : Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.