
Semua sekolah di seluruh negeri Johor akan ditutup esok, 13 Oktober, susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu.
Semua sekolah di Johor ditutup esok
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook hari ini memaklumkan, pemakluman mengenai penutupan sekolah akan dibuat secara harian.
Menurut kenyataan itu, guru dan kakitangan sekolah juga dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Sepanjang tempoh berkenaan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) serta pentaksiran lain yang ditangguhkan pula akan dijadualkan semula.
Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.
Bagi peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) Sesi 3 2026, semua calon diminta merujuk hebahan rasmi menerusi portal Majlis Peperiksaan Malaysia di https://portal.mpm.edu.my.
Dalam pada itu, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dijadualkan semula pada 19 hingga 22 Oktober 2026.
Calon PKSK Tingkatan 1 boleh menyemak dan memuat turun semula slip menduduki peperiksaan menerusi https://spskt1.moe.gov.my/.
JPNJ bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan semasa dan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini serta memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak.






