SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia

23 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia

WARISAN sejarah, budaya dan tradisi sesebuah negeri bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya menjadi khazanah yang membentuk identiti masyarakat serta wajar dikenali generasi kini.

Di Johor, kekayaan warisan itu diperkenalkan kepada mahasiswa Nusantara menerusi program Synergy Exchange Nusantara: Academic Discovery & Adventure 2026 (SENADA) yang menggabungkan pengalaman akademik, penerokaan budaya dan pertukaran ilmu merentas sempadan.

Program anjuran Majlis Felow dan Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu merupakan inisiatif di bawah aspirasi ‘1 Kolej 1 ASEAN’ yang membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengenali sejarah dan budaya masyarakat serantau menerusi pengalaman secara langsung.

Image from: SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia
Tetamu dan para peserta bergambar kenangan semasa majlis Welcoming Ceremony SENADA 2026 di Dewan Banquet, UTM Johor Bahru baru-baru ini.

SENADA secara rasminya membuka tirai menerusi majlis perasmian yang disempurnakan Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim di Dewan Banquet, UTM Johor Bahru baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shafry, penganjuran SENADA selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 menerusi teras Global Talent.

“Global Talent melalui peluang mobiliti antarabangsa membantu memperluaskan pengalaman pembelajaran dan membina jaringan serantau.

“Hasilnya, gabungan kepakaran dan pengalaman daripada institusi yang terlibat turut membuka ruang penerokaan teknologi dan inovasi dalam perspektif baharu,” katanya.

Antara pengisian awal program itu adalah kunjungan ke Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar yang memberi peluang kepada mahasiswa dari Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan Universitas Syiah Kuala (USK), Indonesia mendekati khazanah Johor.

Di Muzium Tokoh Johor, peserta berpeluang mengenali perjalanan sejarah negeri berkenaan menerusi kisah dan sumbangan tokoh-tokoh yang memainkan peranan dalam mencorakkan pembangunan Johor.

Pengalaman berbeza pula menanti peserta di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, apabila mereka didedahkan kepada keunikan seni, budaya dan tradisi masyarakat tempatan.

Mereka belajar seni tari zapin oleh tenaga pelajar Kompleks Warisan Johor dan seni tie dye, termasuk permainan tradisional seperti diabolo, batu seremban, congkak dan lain-lain lagi. Selain itu, peserta diperkenalkan dengan proses tenunan kain tenun Johor.

Image from: SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia

Kedua-dua lokasi itu memberikan pengalaman yang saling melengkapi, di mana peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai sejarah Johor, malah berpeluang menghayati sendiri kekayaan budaya masyarakatnya.

Sementara itu, pengarah program SENADA, Nur Shuhada Nordin berkata, pihaknya mahu memastikan setiap peserta memperoleh pengalaman lebih luas dan bermakna sepanjang menyertai program berkenaan.

“Kami mahu setiap peserta pulang dengan pengalaman yang lebih luas daripada sekadar pengisian akademik.

“Melalui program ini, kami berharap mereka dapat mengenali Johor melalui sejarah, budaya dan masyarakatnya, di samping membina hubungan yang bermakna dengan rakan-rakan serantau.

“Sokongan semua pihak yang terlibat amat penting dalam merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Image from: SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia
Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail UTM membuat persembahan zapin

Usaha menjayakan program itu turut mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Pannir Selvam bersama Yayasan Warisan Johor, UTM International, UTM Holdings, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Kopi 434.

Sokongan pelbagai pihak itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkenalkan khazanah tempatan serta memperkukuh hubungan antara institusi dan masyarakat Nusantara.

Berlangsung selama 18 hari bermula 30 Oktober hingga 16 November lalu, SENADA turut menyediakan pelbagai pengisian lain di sekitar Johor yang merangkumi pengalaman pembelajaran, perkongsian akademik, aktiviti kebudayaan dan penglibatan komuniti tempatan.

Rangkaian aktiviti itu dirancang bagi memberikan pengalaman menyeluruh kepada peserta untuk mengenali Johor, bukan sahaja melalui sejarah dan warisannya, malah kehidupan, masyarakat serta identiti tempatan.

Lebih daripada sekadar pertemuan mahasiswa dari dua negara, SENADA menjadi platform untuk generasi muda saling mengenali, menghargai perbezaan dan menemukan persamaan.

The post SENADA perkenal sejarah, seni Johor kepada mahasiswa Indonesia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved