Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 sepatutnya menjadi satu sambutan bukan sahaja buat tetamu dari luar negara, tetapi juga buat kita sebagai tuan rumah. Akan tetapi, kempen kali ini kelihatan sumbang, syok sendiri dan seolah-olah sudah mati rasa.
Selepas penganjuran Rain Rave yang penuh kontroversi, Citrawarna menjadi harapan masyarakat Malaysia sebagai platform terbaik untuk mengembalikan keyakinan terhadap citra budaya negara. Malangnya, harapan itu berkecai.
Daripada isu pengurusan produksi, koordinasi, susunan jadual, ketidaktepatan waktu latihan, masalah penggunaan lagu AI, komunikasi yang lemah, pengurusan krisis yang gagal, sehinggalah kepada isu penggunaan karya seorang pelukis OKU tanpa kebenaran, semuanya memburukkan lagi keadaan.
Namun, isu ini sebenarnya lebih besar daripada kelemahan sebuah penganjuran.
Citrawarna bukan sekadar sebuah acara pelancongan. Ia ialah persembahan rasmi tentang siapakah kita sebagai sebuah negara. Apabila acara sebesar ini gagal menghormati proses kreatif, gagal memanfaatkan kepakaran anak seni sendiri dan gagal mencapai standard yang sewajarnya, kerugiannya bukan sekadar sebuah malam persembahan. Yang tercalar ialah keyakinan bahawa negara benar-benar menghargai seni budayanya sendiri.
Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar.

Bagi pesta air Rain Rave, Tourism Malaysia bekerjasama dengan The Fame, manakala bagi Citrawarna, Tourism Malaysia bekerjasama dengan Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. Kedua-duanya merupakan syarikat swasta yang dilibatkan dalam penganjuran acara di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Persoalannya bukan sama ada syarikat-syarikat swasta ini layak atau tidak.
Persoalannya ialah, apakah rasional Tourism Malaysia dalam memilih rakan kerjasama bagi acara-acara nasional yang membawa nama seni dan budaya negara? Dan sejauh manakah institusi seni budaya negara sendiri dilibatkan dalam menentukan hala tuju artistik acara-acara ini?
Tourism Malaysia merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam kementerian yang sama terdapat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), selain ratusan penggiat seni yang telah bertahun-tahun membina pengalaman menganjurkan produksi berskala besar.
Jika kita mempunyai tenaga kreatif tempatan yang mampu menghasilkan karya bertaraf profesional, mengapa kepakaran mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam acara yang mewakili imej budaya Malaysia?
Persoalan lain juga wajar dijawab secara terbuka.
Apakah rasional pelantikan Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. sebagai rakan penganjur Citrawarna? Apakah proses pemilihannya? Dan apakah skop sebenar tanggungjawab syarikat tersebut dalam penganjuran Citrawarna?
Dengan peruntukan yang diberikan, mengapa masih timbul pelbagai kelemahan seperti kekurangan sistem audio di sepanjang Dataran Merdeka, ketiadaan tempat duduk untuk pengunjung, ketiadaan skrin tayangan, krew yang tidak kompeten, penggunaan lagu AI, penggunaan karya tanpa kebenaran serta pelbagai masalah lain?
Natijahnya, seperti kata orang kampung, damage has been done.
Penilaian masyarakat sudah pun terbentuk. Lebih membimbangkan, kekecewaan ini turut dirasai oleh komuniti seni sendiri yang selama ini menjadi tulang belakang pembangunan seni budaya negara.
Bukalah mata.
Dengarlah suara mereka yang berada di lapangan.
Gunakanlah tenaga kreatif negara sebaik mungkin sebelum kelompok ini hilang rasa percaya dan keterujaan. Kerana apabila itu berlaku, seni budaya yang cuba kita promosikan kepada dunia akhirnya hanya tinggal sebuah acara - cantik dipandang, tetapi kosong jiwanya.

Akhir sekali, sukar untuk memahami rasional sesi raptai penuh yang hanya bermula selepas pukul 10 malam, manakala persembahan utama pula hanya berakhir sekitar pukul 1 pagi.
Adakah semua ini dilakukan semata-mata untuk menyesuaikan jadual VIP?
Ramai masih mengingati kemeriahan Citrawarna pada era Allahyarham Pak Ngah. Ketika itu, Citrawarna bukan sekadar sebuah acara. Ia menjadi lambang kebanggaan seni budaya Malaysia.
Hari ini, nostalgia itu semakin terasa jauh.
Demi seni budaya negara, hentikan budaya kronisme, utamakan ketelusan, dan kembalikan kepercayaan kepada mereka yang benar-benar memahami nilai seni budaya Malaysia.
Mengenai penulis:
Fauzan Haziq bermula sebagai pelajar UiTM sebelum menimba pengalaman di Penang Performing Arts Centre (penangpac). Hari ini, suaranya menghidupkan pelbagai acara sebagai pengacara majlis dan artis suara. Di celah kesibukan bekerja, kecintaannya terhadap dunia seni tidak pernah berhenti mengambil pentas.
Seni:Kita (pentaspena.pg@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.





