SENIMAN, SPRM, FINAS anjur HARA 2026 Ahad ini

LocalEntertainment
26 Nov 2026 • 5:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SENIMAN, SPRM, FINAS anjur HARA 2026 Ahad ini

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026, Ahad ini.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, program itu bertujuan menyemai kesedaran mengenai kepentingan antirasuah dan integriti dalam kalangan penggiat seni.

Menurutnya, nilai integriti perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian serta setiap urusan profesional warga industri kreatif.

“Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka. Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengulas tanggungjawab anak seni dalam usaha membanteras rasuah, Zed berkata, setiap individu yang terbabit dalam industri kreatif perlu menjadikan integriti sebagai asas utama ketika menjalankan tugas.

Katanya, penggiat seni juga perlu memanfaatkan pengaruh mereka untuk menyebarkan nilai integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan dan urusan profesional.

“Ahli SENIMAN mempunyai peranan penting, bukan sahaja sebagai penggiat seni tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat. Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.

“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah. Seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Zed menggalakkan ahli SENIMAN menyertai program berkenaan bagi memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai penggiat seni.

“Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai. Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.

Program sehari itu turut menampilkan taklimat khas daripada SPRM, selain pelbagai pengisian menarik termasuk bengkel TikTok secara percuma dan pertandingan menghasilkan video pendek Public Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik kepada peserta.

Program berkenaan turut menyasarkan penyertaan warga industri kreatif, FINAS dan pelajar, selain menampilkan pameran rakan industri serta persembahan artis bagi memeriahkan acara.

HARA 2026 akan berlangsung pada 29 November ini, dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.

The post SENIMAN, SPRM, FINAS anjur HARA 2026 Ahad ini appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved