PAC gesa SPRM dakwa pihak terlibat cubaan rasuah dalam isu kewangan UKM

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 3:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PAC gesa SPRM dakwa pihak terlibat cubaan rasuah dalam isu kewangan UKM Image from: PAC gesa SPRM dakwa pihak terlibat cubaan rasuah dalam isu kewangan UKM sarah23/11/2026 - 15:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat dalam dakwaan cubaan memberikan suapan wang tunai serta tajaan percutian luar negara bagi mempercepatkan semakan kontrak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, gesaan itu merupakan antara 10 syor utama yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan susulan penemuan kelemahan serius dalam tadbir urus kewangan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional UKM (UKMShape).

 

"Pihak SPRM hendaklah menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat dalam cubaan memberikan suapan wang tunai dan tajaan percutian bagi memotong giliran fail semakan di Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU)," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

 

Beliau berkata, PAC turut merakamkan penghargaan kepada SPRM atas tindakan proaktif melaksanakan siasatan dan memulakan prosiding mahkamah terhadap pihak yang terlibat dalam kes salah laku serta penyelewengan berkaitan isu berkenaan.

 

PAC mahu aktiviti komersial universiti diurus anak syarikat

Mas Ermieyati berkata, PAC turut mengesyorkan supaya aktiviti komersial universiti awam dipindahkan di bawah anak syarikat rasmi seperti UKM Holdings yang tertakluk kepada audit syarikat komersial.

 

"Aktiviti komersial universiti awam hendaklah dipindahkan di bawah anak syarikat rasmi seperti UKM Holdings yang tertakluk kepada audit syarikat komersial, manakala universiti induk kekal tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan awam," katanya.

 

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan kewangan universiti awam bagi memastikan aktiviti menjana pendapatan dilaksanakan tanpa mengetepikan peraturan kewangan kerajaan.

 

PAC turut mengesyorkan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua universiti awam melarang pihak ketiga mengutip yuran pengajian pelajar, sebaliknya semua kutipan mesti disalurkan sepenuhnya ke akaun rasmi Jabatan Bendahari Universiti.

 

Lembaga universiti tidak boleh sekadar meluluskan cadangan

Mas Ermieyati berkata, PAC juga mahu Lembaga Pengarah Universiti (LPU) memainkan peranan lebih aktif dalam menyemak pematuhan peraturan kewangan dan tidak sekadar bertindak sebagai pihak yang memberikan pengesahan terakhir.

 

Selain itu, sebarang perjanjian yang mempunyai implikasi kewangan dan dasar perlu mendapat kelulusan LPU, KPT serta Kementerian Kewangan sebelum dimeterai, manakala jawatankuasa siasatan bagi kes ketidakaturan serius hendaklah dilantik oleh LPU atau KPT, bukannya naib canselor.

 

PAC turut mencadangkan perlindungan lebih kukuh kepada pemberi maklumat, tindakan terhadap konflik kepentingan membabitkan syarikat milik keluarga pegawai universiti serta pematuhan ketat terhadap peraturan pekerjaan luar.

 

Kutipan yuran tanpa kebenaran jadi asas siasatan

Terdahulu, prosiding PAC yang berlangsung dari 29 Jun hingga 16 Julai 2026 mendapati Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa kebenaran sah, manakala hasil berkenaan tidak direkodkan dalam akaun UKM sehingga menyebabkan pendapatan universiti dilaporkan lebih rendah daripada jumlah sebenar.

 

Siasatan itu turut mendapati pentadbiran terdahulu UKM gagal mengambil tindakan terhadap aduan konflik kepentingan selama hampir lapan bulan, selain mengenal pasti kelemahan fungsi semak dan imbang dalam kelulusan perjanjian universiti. Penemuan itu terkandung dalam Penyata PAC DR.35/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam pertikaian berkaitan, KSBB memfailkan saman sivil menuntut RM2.496 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei 2026, manakala UKM mengemukakan tuntutan balas RM3.44 juta bagi tunggakan yuran. PAC turut mengesyorkan audit pelarasan akaun dilaksanakan bagi memuktamadkan baki tuntutan sebenar kedua-dua pihak.

 

"Matlamat menjana pendapatan sendiri oleh institusi pendidikan awam tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan tatakelola, peraturan kewangan Kerajaan, dan prinsip integriti," tegas Mas Ermieyati.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved