Sennheiser Malaysia hari ini telah mengumumkan ketibaan kedua-dua fon kepala Sennheiser Momentum 5 Wireless dan juga fon telinga TWS Sennheiser Momentum True Wireless 5 mereka di pasaran tempatan untuk mereka yang sedang mencari penawaran audio boleh-pakai yang hadir dengan rekaan dan juga kualiti audio premium.

Sennheiser Momentum 5 Wireless dilihat mengekalkan rekaan model fon kepala Momentum 4 Wireless sebelum ini, dan juga penggunaan pemandu audio transduser 42mm yang diperlihatkan pada model sebelum ini dan juga fon kepala Sennheiser HD600 yang dilancarkan pada tahun 1997.

Perbezaan yang lebih ketara adalah pada sokongan jenis audio pada fon kepala Momentum 5 Wireless ini. Menurut Senheisser, fon kepala ini hadir dengan penarafan Hi-Res Audio dan Snapdragon Sound, berserta sokongan untuk codec audio aptX Lossless yang membolehkan pengguna untuk memainkan audio pada kualiti nirhilang (lossless) tidak kira sumber audio.

Aplikasi Smart Control Plus kini juga hadir dengan fungsi EQ lapan jalur dan sejumlah pra-tetapan kualiti audio yang juga boleh diubahsuai untuk mendapatkan kualiti audio yang sesuai dengan citarasa pengguna. Fon kepala ini juga hadir dengan lapan mikrofon terbina, empat di setiap bahagian kiri dan kanan bukan sahaja untuk memperbaiki mutu panggilan suara dengan fon kepala ini, tetapi juga untuk memperbaiki mutu pembatalan bunyi hingar aktif.

Melalui kemaskini hari pertama, fon kepala ini akan menawarkan fungsi Dolby Atmos yang akan bolehkan fon kepala untuk menjejak kedudukan kepala dan telinga apabila menonton kandungan yang menyokong teknologi tersebut. Sokongan teknologi sambungan nirwayar juga akan dinaiktaraf dari Bluetooth 5.4 ke Bluetooth 6.0 dengan kemaskini hari pertama tersebut.
Fon kepala ini juga hadir dengan bateri 700mAH terbina yang memberikan pengguna jangka hayat pengunaan selama 57 jam secara berterusan, manakala sistem pengecasan pantas terbina akan memberi pengguna masa penggunaan tiga jam dengan lima minit pengecasan.
Fon kepala Sennheiser Momentum 5 Wireless ditawarkan dalam pilihan warna Black, White dan Denim.

Fon telinga Sennheiser Momentum True Wireless 5 pula merupakan TWS pertama mereka dengan bateri, putik telinga dan pod pengecas yang boleh digantikan dengan mudah. Kedua-dua komponen mempunyai skru yang membolehkan bateri diakses apabila diperlukan. Ini jauh berbeza dengan rekaan menggunakan gambar yang membuatkan proses gantian mustahil. Ciri ini diberikan Sennheiser bagi memenuhi keperluan EU yang mewajibkan bateri peranti elektronik boleh digantikan sendiri oleh pemilik.

Selain bateri mudah diganti, Momentum True Wireless 5 hadir dengan pemandu audio 7mm TrueResponse. Terdapat sokongan aptX Lossless dan Dolby Atmos bersama penjejakan kepala. Enam mikrofon dan 2 accelerometer disertakan untuk menyokong ANC serta memberikan kualiti audio perbualan yang baik.

Hayat bateri adalah sehingga 12 jam tanpa ANC dan 40 jam dengan bantuan pod pengecas. Setiap putik telinga melepasi piawaian percikan air IP54 membolehkan ia kalis peluh semasa bersenam. Tambatan adalah menerusi Bluetooth 6.0 dengan sokongan sistem Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair.

Fon telinga Sennheiser Momentum True Wireless 5 hadir dalam lima pilihan warna, termasuklah Graphite, Denim, Lavender, Cream dan Copper, warna-warna yang bersesuaian dengan citarasa anda sendiri.
Fon kepala Sennheiser Momentum 5 Wireless kini sudah ditawarkan melalui kedai atas talian Sennheiser Malaysia pada harga RM1999, manakala fon telinga Sennheiser Momentum True Wireless 5 juga sudah mula dijual pada harga RM1699.





