“Sentuh kaki nak ucap terima kasih” – Remaja OKU Terharu Diberi Pertolongan, Dakwa Kena Samun Di TBS

27 Oct 2025 • 5:31 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Sudah menjadi lumrah anak muda akan merantau ke ibu kota untuk mencari rezeki yang lebih baik walaupun seorang diri.

Namun, ada kalanya terpaksa berhadapan dengan cabaran yang tidak disangka seperti menjadi mangsa samun atau penipuan.

Itulah yang dihadapi oleh seorang remaja berstatus OKU yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, namun hal sebaliknya pula berlaku.

Remaja OKU cari kerja kena samun di TBS

Kisah itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok, @ezzuchang yang juga pengusaha makanan bertemu dengan seorang remaja OKU yang dipercayai menjadi mangsa samun ketika baru sahaja tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Dakwa remaja OKU itu, dia telah ditipu seorang individu yang mendakwa menawarkan pekerjaan kepadanya. Namun, ketika dia mengekori individu terbabit, dia dipukul dan barang peribadinya disamun.

“Saya sampai di TBS, ada seorang lelaki dia kata nak bagi saya kerja.

“Saya ikut dia masuk ke sebuah lorong, lalu dia pukul kepala saya sampai bengkak, beg dan dompet saya juga diambil,” ujarnya.

Lebih menyedihkan lagi, remaja berkenaan berada dalam keadaan tidak berselipar dengan kepalanya turut mengalami kecederaan dipercayai dipukul ketika insiden samun terbabit.

Simpati dengan nasib yang dialami remaja itu, Ezzu Chang menghulurkan bantuan dengan memberi sepasang selipar, makanan dan minuman untuknya.

Difahamkan, remaja berkenaan sudah kehilangan ibu bapa dan pemegang kad OKU masalah pembelajaran.

“Saya minta makanan kepada orang lain, tiada yang bagi. Saya malu kerana jadi begini,” katanya dalam nada sebak.

Ezzu Chang kemudian memesan teksi untuk menghantar remaja tersebut kembali ke TBS sambil menghulurkan sedikit wang untuknya pulang.

Terharu dengan setiap bantuan diberikan, remaja itu cuba menyentuh kaki Ezzu Chang sebagai tanda hormat dan terima kasih seperti mana yang sering dilakukan masyarakat India.

@ezzuchang

Kesian budak India OKU datang KL nak cari kerja. Tapi kena samun dekat TBSimage is not available #ezzuchang #oppazuzukl #fyp

♬ Sedih menyentuh hati – Yuda Pratama

Dalam pada itu, Ezzu Chang meminta orang ramai untuk menghubunginya jika ada yang mengenali keluarga remaja terbabit.

Sumber: TikTok

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.