Seorang rakyat Malaysia hilang di Nepal selamat pulang ke tanah air

3 Oct 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Seorang rakyat Malaysia hilang di Nepal selamat pulang ke tanah air

PETALING JAYA: Setelah 37 hari menunggu dalam ketidakpastian, sebuah keluarga akhirnya menarik nafas lega apabila seorang rakyat Malaysia yang terputus hubungan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal disahkan selamat dan pulang ke tanah air, semalam.

Jurucakap Malaysia-Si­nga­pore Family Interest Group (MASFIH), Ts. Dr. R. Manivannan berkata, individu berbangsa Cina itu mengembara seorang diri dan menjadi satu-satunya pelancong solo dalam kalangan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Katanya, berdasarkan komunikasi langsung dengan waris, individu berkenaan berada di Nagthali Viewpoint pada pukul 3.26 petang, 25 Ogos lalu iaitu sehari sebelum bencana banjir dan tanah runtuh berlaku.

“Dia kemudiannya terkandas untuk suatu tempoh akibat kemusnahan jalan dan jambatan, selain ketiadaan bekalan elektrik, air dan akses internet yang menyukarkan pergerakan serta komunikasi.

“Dia akhirnya berjaya meneruskan perjalanan ke Kathmandu sebelum hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Khamis lalu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Nepal bersetuju memberikan komitmen penuh mengesan 54 lagi rakyat Malaysia yang masih hilang.

Menurut Manivannan, individu itu pulang ke Malaysia selepas berjaya mendapatkan akses untuk keluar dari kawasan terjejas.

Katanya, kepulangan itu memberi kelegaan besar kepada keluarga yang selama ini me­nunggu tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Kami amat gembira dan bersyukur kerana seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi kini ditemukan selamat dan telah kembali kepada keluarganya,” katanya.

Manivannan berkata, 54 lagi rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi dan dipercayai melakukan perjalanan secara berkumpulan.

Katanya, 52 daripada mereka menyertai empat kumpulan terdiri daripada 23, 17, sembilan dan tiga orang manakala dua lagi mengembara bersama pelancong dari negara lain.

Daripada jumlah itu, 42 orang berbangsa India, 11 Melayu dan seorang Cina.

Sementara itu, keluarga Muhammad Haziq Ismail, 36, masih menanti kepastian me­ngenai keberadaannya.

Kakaknya, Nurizzati turut memohon orang ramai menitipkan doa buat Muhammad Haziq.

Muhammad Haziq antara sembilan rakyat Malaysia yang gagal dihubungi ketika dalam perjalanan menuju sempadan Rasuwagadhi-Kerung. – UTUSAN

The post Seorang rakyat Malaysia hilang di Nepal selamat pulang ke tanah air appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved