Sepak anak di tempat awam bukan urusan keluarga lagi

Family & Parenting
15 Sep 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sepak anak di tempat awam bukan urusan keluarga lagi
Rakaman video tular di media sosial.

MERAK Jalanan naik darah melihat rakaman tular seorang lelaki menyepak kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya di sebuah kedai makan di Telipot, Kota Bharu.

Perbuatan itu berlaku di hadapan orang ramai, seolah- olah tubuh kecil berkenaan tidak mempunyai maruah dan perasaan.

Polis sudah membuka kertas siasatan serta sedang mengesan lelaki terbabit. Hubungan mereka masih belum disahkan secara terbuka. Rakaman tersebut cukup untuk mengingatkan bahawa kekerasan terhadap kanak-kanak tidak boleh dianggap urusan dalaman keluarga.

Gelaran bapa bukan lesen untuk menendang, menampar atau memperlakukan anak sesuka hati. Disiplin membina kefahaman, sedangkan kekerasan menanam ketakutan, malah kesan perbuatan sebegini juga tidak semestinya berakhir apabila sakit fizikal hilang.

Rasa takut terhadap penjaga boleh terbawa-bawa dan merosakkan rasa selamat seorang anak sendiri. Lebih membimbangkan, tindakan itu dilakukan di tempat terbuka.

Maka apabila seseorang berani mengasari kanak-kanak ketika diperhatikan masyarakat, kebajikan mangsa selepas kembali ke ruang tertutup juga wajar mendapat perhatian pihak berkuasa.

Kejadian tersebut turut menguji sikap orang sekeliling dan meskipun tiada siapa diminta menjadi wira sehingga membahayakan diri, tetapi berdiam diri bukan pilihan.

Maklumkan pengurusan premis, hubungi polis atau salurkan aduan kepada Talian Kasih 15999 supaya tindakan perlindungan dapat dilakukan.

Orang dewasa yang sebenar menunjukkan kekuatan dengan mengawal kemarahan serta melindungi anak, bukannya mengasari mereka yang tidak mampu melawan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved