Hujan sangat lebat sebabkan banjir di 23 kawasan di Selangor

LocalEnvironment
18 Nov 2026 • 10:05 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hujan sangat lebat sebabkan banjir di 23 kawasan di Selangor

SHAH ALAM, 18 NOV: Hujan sangat lebat dengan taburan antara 63.5 hingga 114.5 milimeter (mm) menyebabkan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor, semalam.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memaklumkan Klang mencatat jumlah kawasan terjejas tertinggi iaitu lapan, diikuti Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).

"Di Klang, kawasan terjejas termasuk Kampung Bukit Kapar, Taman Bukit Kemuning, Kampung Jalan Kebun, Kampung Bukit Naga, Kampung Johan Setia, Kampung Delek, Kampung Rantau Panjang dan Persimpangan Bukit Raja.

"Di Gombak, banjir dilaporkan di Pekan Batu Arang, Jalan Tasik Puteri, Taman Rahmat Jaya serta beberapa kawasan sekitar Kundang dan Kuang," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, lima kawasan terjejas di Kuala Selangor ialah Kampung Merbau Indah Tambahan, Perumahan Saujana Aman, Jalan Rukun di Kampung Harmoni, Jalan Keretapi Lama di Bukit Badong dan Kampung Desa Ehsan.

Image from: Hujan sangat lebat sebabkan banjir di 23 kawasan di Selangor
Seorang lelaki meredah air banjir yang memasuki sebuah bengkel motosikal di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, susulan hujan lebat pada 17 November 2026. Foto BERNAMA

Di Petaling pula, banjir melibatkan Lorong Keluli 1C di i-City, Kampung Kubu Gajah dan Kampung Budiman, Shah Alam.

Dalam perkembangan sama, JPS Selangor memaklumkan sebanyak 353 pintu air dan 161 pam kekal berada dalam mod operasi aktif bagi mengeluarkan air banjir ke sungai.

“Sebanyak 141 pam kecemasan mudah alih (pam bergerak) telah dipasang dan beroperasi di sembilan daerah, manakala baki sembilan unit berada dalam mod siap siaga untuk ditempatkan di lokasi kritikal yang diperlukan,” katanya.

JPS Selangor turut meneruskan kerja penyelenggaraan berkala sebelum, semasa dan selepas banjir bagi memastikan sungai serta saliran di bawah tanggungjawabnya sentiasa berfungsi menyalurkan air banjir ke laut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai banjir menerusi portal Public InfoBanjir JPS Malaysia atau InfoBanjir JPS Negeri Selangor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved