ROTF gegar MAHA, 5,000 raikan Ambang Merdeka

LocalEntertainment
31 Aug 2026 • 2:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ROTF gegar MAHA, 5,000 raikan Ambang Merdeka

SERDANG – Perkampungan Bang Mat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) berubah menjadi lautan manusia apabila konsert Rhythm of the Farmers (ROTF) menerusi tema Night of Finale menarik kira-kira 5,000 pengunjung.

Acara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 itu lebih bermakna apabila turut menggabungkan sambutan Ambang Kemerdekaan negara ke-69 dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Pentas ROTF mula bergema dengan celoteh dua pengacara, Shasha Nadira Rosli atau Sha dan Ashhrapp Kamal (Acap), sebelum penyanyi Santesh membuka tirai persembahan menerusi lagu Kathi Mela Kathi, Jiwang dan Amalina.

Suasana bertukar nostalgia apabila kumpulan Blues Geng membawa penonton mengimbau era 80-an menerusi lagu popular Oh Mak Siti dan Apo Nak Dikata. Lagu Jumpa Kawan Lama turut dipersembahkan sebagai penghargaan khas buat Mohamad.

“Lagu ini ditujukan khas kepada kawan lama, Abang Mat,” kata Ito.

Image from: ROTF gegar MAHA, 5,000 raikan Ambang Merdeka
Persembahan Ito yang memukau sempena ROTF dengan tema Night of Finale di MAEPS, Serdang.

Kemunculan Syamel pula mencipta suasana lebih sentimental apabila penyanyi itu mendendangkan lagu Lebih Sempurna, Kau Pun Sama dan Cukup Sekali sambil mengajak penonton menghidupkan lampu telefon masing-masing.

Penyanyi Dayang Nurfaizah turut memukau penonton menerusi lagu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung serta Umpan Jinak Di Air Tenang yang menghidupkan lagi suasana malam penuh hiburan itu.

Menjelang kemuncak acara, kumpulan Bunkface mencetuskan fenomena apabila penonton bangun menyanyi dan menari bersama menerusi lagu popular seperti Malam Ini Kita Punya, Situasi, Darah Muda dan Revolusi.

Kemeriahan diteruskan dengan pertunjukan dron berwarna-warni di langit MAEPS yang memaparkan elemen pertanian, penternakan serta teknologi moden sebelum kiraan detik 12.01 tengah malam disusuli pertunjukan bunga api.

Menurut MARDI Corporation, ROTF diwujudkan sebagai pengisian hiburan utama MAHA 2026 bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung menerusi gabungan muzik, kebudayaan dan aktiviti interaktif.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.

ROTF berlangsung setiap malam sepanjang MAHA 2026 sehingga 6 September dengan mengetengahkan barisan artis tempatan menerusi tema berbeza. Selain muzik, program itu turut menampilkan persembahan buskers, aktiviti kebudayaan dan pengisian santai untuk pengunjung.

“Penekanan turut diberikan terhadap aspek produksi, penjenamaan serta pengalaman pengunjung bagi memperkukuh identiti ROTF sebagai platform hiburan yang dinamik dan inklusif,” katanya.

ROTF bakal melabuhkan tirai pada 6 September menerusi persembahan khas bertemakan Soul Journey yang dijadualkan bermula jam 5.30 petang.

The post ROTF gegar MAHA, 5,000 raikan Ambang Merdeka appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved